UiTM sambut Hari Alumni 2024

UiTM sambut Hari Alumni 2024

Dr. Azlinda Azman dan Dr. Shahrin Sahib dalam Majlis “Pelancaran Buku Citra Bitara & Buku Alumni Dewan Latehan RIDA” sempena Hari Perhimpunan Alumni UiTM di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, baru-baru ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) meraikan semangat kebersamaan dan kecintaan terhadap alma mater menerusi Perhimpunan Alumni sempena Hari Alumni yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, hari ini.

Acara ini mencatat sejarah tersendiri dengan menghimpunkan alumni dari pelbagai era, termasuk Dewan Latehan RIDA (DLR), Maktab MARA, dan Institut Teknologi MARA (ITM) yang bertujuan memperkukuh ikatan persaudaraan alumni serta memperingati sumbangan mereka kepada pembangunan universiti dan negara.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azma berkata, alumni perlu terus menyokong alma mater secara proaktif.

Kata beliau, sinergi kukuh serta komitmen tinggi daripada alumni penting bagi memastikan sektor pendidikan tinggi terus gemilang.

“Alumni bukan sekadar lepasan universiti tetapi mereka adalah duta ilmu, pemimpin perubahan, dan penggerak agenda kemajuan negara,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, alumni memainkan peranan penting dalam memastikan UiTM terus relevan dan berjaya.

“Sumbangan kewangan, kepakaran, serta keprihatinan alumni UiTM pasti memberi impak mendalam kepada alma mater. Dengan semangat kebersamaan ini, kita akan memastikan masa depan generasi seterusnya terus terbela,” ujarnya.

Acara ini turut dimeriahkan dengan forum bertajuk “Alumni Penggerak Transformasi Negara” yang menampilkan panelis terkemuka antaranya adalah Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan VFive, Datuk Mohd Syafiq Hj. Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Urbanice Malaysia, Norliza Hashim dan Ketua Pegawai Pelaburan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Hisham Hamdan.

UiTM turut melancarkan dua buah buku khas terbitan Jabatan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN UiTM), iaitu Wajah Alumni Citra Bitara UiTM dan Cherita Alumni Dewan Latehan RIDA (DLR): Sharing Legacies.

Sebagai simbolik kebersamaan, alumni yang hadir melafazkan ikrar untuk memperkukuh sokongan terhadap UiTM, dengan mengenakan pakaian berwarna ungu sebagai tanda cinta kepada alma mater mereka.

Majlis ini sekali lagi membuktikan UiTM bukan sekadar mencipta profesional bumiputera terkemuka, tetapi juga menyatukan komuniti alumni untuk sama-sama menggerakkan transformasi negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya