Tuah ikan keli, bawa pulang RM7,000

Tuah ikan keli, bawa pulang RM7,000

SAPIAH Haron bersama pemenang Mohd. Qamarul Anuar Abdul Latif (tiga dari kiri), Khairil Azhar Johan (dua dari kanan) dan Adnan Md. Isa (kiri) pada Cabaran Joran Melaka 2024 di Tasik Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tuah menaikkan ikan keli seberat 2.6 kilogram (kg) membolehkan seorang peniaga, Mohd. Qamarul Anuar Abdul Latif, 37, dinobatkan sebagai juara Cabaran Joran Melaka 2024 di Tasik Ayer Keroh di sini, semalam.

Kemenangan itu membolehkannya memenangi hadiah wang tunai RM7,000 selaku juara menewaskan 750 peserta lain pada pertandingan anjuran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

Mohd. Qamarul berkata, dia tidak menyangka hanya berbekalkan umpan cacing berjaya menarik perhatian ikan keli seberat itu.

“Hadiah ini untuk anak kedua yang akan lahir pada Februari tahun depan dan ini mungkin rezeki dia dan saya.

“Memancing ini memang hobi saya sejak 15 tahun lalu dan selalu masuk dalam pertandingan yang dianjurkan. Setakat ini saya sudah memperoleh hampir RM30,000 hasil duit kemenangan memancing.

“Adat pertandingan mesti ada menang atau kalah tetapi saya tidak jangka boleh muncul juara penutup tahun 2024,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron dan Pengurus Tourism Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan, Shahrulnazri Saharuddin.

Sementara itu, Sapiah berkata, penganjuran pertandingan sedemikian dilihat mampu menaikkan potensi Tasik Ayer Keroh sebagai lokasi pelancongan riadah terutama aktiviti memancing.

Beliau berkata, pihaknya menerima banyak cadangan daripada peserta agar lebih banyak pertandingan memancing diadakan tahun depan.

“Kita merancang menganjurkan pertandingan memancing berskala besar dengan lebih banyak hadiah-hadiah menarik bakal ditawarkan kepada para peserta,” katanya.

Dalam pada itu, naib juara menjadi milik Khairil Azhar Johan, 42, dengan tangkapan ikan keli seberat 2.4kg dan tempat ketiga, Adnan Md. Isa, 35, juga menaikkan ikan keli seberat 2.3kg. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya