Tol percuma sempena Krismas pada 23 dan 24 Disember

Tol percuma sempena Krismas pada 23 dan 24 Disember

KERAJAAN bersetuju memberikan tol percuma sempena Krismas pada 23 dan 24 Disember ini. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengguna lebuh raya di seluruh negara bakal menikmati tol percuma pada 23 dan 24 Disember ini sempena perayaan Hari Krismas.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tol percuma itu akan bermula pada pukul 12.01 tengah malam Isnin (23 Disember) sehingga 11.59 malam Selasa (24 Disember).

Menurut beliau, ia hanya melibatkan kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) di semua plaza tol kecuali di plaza tol sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.

“Kerajaan Madani bersetuju untuk memberikan tol percuma kepada kenderaan Kelas 1 sahaja selaras dengan aspirasi ‘Madani di Hati, Rakyat Disantuni’ sempena perayaan Hari Krismas 2024. 

“Implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan dianggarkan berjumlah RM38 juta untuk pembayaran balik kepada syarikat konsesi tol,” katanya dalam kenyataan.

Nanta turut menggalakkan pengguna lebuh raya untuk merancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan semasa musim cuti persekolahan. 

Beliau menasihatkan pengguna agar mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (tta) yang disyorkan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran perjalanan.

“Pastikan kesihatan tubuh badan terjaga, keadaan kenderaan dalam keadaan baik, dan baki kad Touch ‘n Go serta eWallet mencukupi. 

“Semua pengguna jalan raya dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan papan tanda dan maklumat yang dipaparkan di Variable Message System (VMS). Penunggang motosikal juga perlu lebih berhati-hati, terutama ketika trafik tinggi,” katanya.

Nanta turut menyarankan agar pengguna mendapatkan maklumat trafik semasa melalui media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) atau laman sesawang LLM di www.llm.gov.my serta boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk bantuan.

“Pengguna boleh memeriksa keadaan trafik melalui paparan CCTV di laman web LLM atau menggunakan saluran WhatsApp Channel LLM Info Trafik untuk maklumat terkini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya