KANGAR: Perlis menjadi destinasi yang semakin popular dan tumpuan untuk dikunjungi pelancong domestik berikutan faktor persekitaran yang aman damai, selesa dan selamat selain jauh dari hiruk pikuk kota.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, projek Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai Kuala Perlis, Wang Kelian View Point, Bukit Chabang, Gua Kelam, Timah Tasoh dan pelbagai lagi destinasi lain menjadi antara tumpuan pengunjung bertandang ke negeri Perlis.
Titah baginda, antara usaha yang dijalankan bagi memastikan kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025 ialah melalui program-progran seperti jejak eko pelancongan, jejak agro pelancongan, jejak pelancongan sejarah, warisan dan seni budaya, jejak lawatan membeli-belah dan makanan serta jejak pelancongan sukan dan rekreasi.
“Atas faktor persekitaran yang aman, damai, selesa dan selamat yang jauh dari hiruk pikuk kota menjadikan Perlis destinasi yang semakin popular dikunjungi oleh pelancong domestik pada ketika ini,” titah baginda selepas berkenan berangkat melancarkan promosi masakan Perlis iaitu kurma daging Perlis di Cempaka Restaurant, Grand Plaza Park City, Kensington Hotel, United Kingdom (UK) baru-baru ini.
Ia dianjurkan restoran tersebut dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan usahawan, Datuk Salahudin Yaakob.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda baginda berdua iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh pemilik restoran berkenaan, Shaharil Izhar yang berasal dari Sungai Nibong, Pulau Pinang.
Restoran yang cukup terkenal di kota London dengan masakan Nasi Goreng Kampung dan Sup Ekor serta Chicken Chop itu telah menjalankan perniagaan kira-kira setahun lalu
Promosi masakan kurma daging Perlis boleh didapati di restoran berkenaan bermula pada 6 Januari hingga 6 Februari 2025 untuk tempoh selama satu bulan.-UTUSAN