Titah adendum: ‘Saya tidak boleh berdendam, hasat dengki’

Titah adendum: ‘Saya tidak boleh berdendam, hasat dengki’

Titah adendum
ANWAR Ibrahim berucap pada Majlis Pelancaran Flysiswa dekat Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Perdana Menteri menegaskan beliau tidak berdendam dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu dalam Lembaga Pengampunan termasuk hal berkaitan titah adendum.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun Najib adalah Perdana Menteri kedua yang memasukkannya ke dalam penjara selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad, namun mengambil tanggungjawab atas dasar hak setiap banduan untuk mengemukakan rayuan pengampunan kepada lembaganya.

Malah, beliau menjelaskan, beliau menyedari tiada agenda rayuan pengampunan oleh Najib ketika lembaga itu bersidang, namun membangkitkannya kepada Yang di-Pertuan Agung sebagai Pengerusi Lembaga Pengampunan ketika itu untuk dipertimbangkan.

“Saya masa dimasukkan ke penjara, kali pertama masa Mahathir, kali kedua masa Datuk Seri Najib. Tetapi, saya sekarang Perdana Menteri, saya tidak boleh berdendam dan hasat dengki.

“Saya kata ‘ampun Tuanku, selayaknya semua orang berhak memohon apakah mahu dipertimbangkan oleh lembaga atau diperkenan oleh Tuanku’, itu kemudian. Tetapi hak merayu harus ada.

“Satu pihak kecam saya kerana bawa agenda, padahal saya hanya menggunakan tanggungjawab supaya adil untuk dipertimbangkan. Itu saya katakan sebab apa, ya salah tetap salah sudah masuk penjara, adalah ihsan atau kemanusiaan kita minta dipertimbangkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Flysiswa, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan, beliau tidak terlibat dalam isu titah adendum yang didakwa wujud bagi membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.

Menurutnya, beliau hanya hadir pada 8 Disember 2023 sementara mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 29 Januari lalu, dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa.

Jelasnya, ketika itu soal memberikan titah adendum kepada Najib tidak termasuk dalam agenda mesyuarat.

Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh pendiriannya enggan mengulas titah adendum berikutan keperluan untuk menghormati proses undang-undang apabila keputusan Mahkamah Rayuan mengenai pertuduhan dihadapi Najib diketahui pada 6 Januari nanti.

Justeru, beliau menyifatkan pihak yang berterusan mempertikaikan isu tersebut sebagai dangkal dan tidak mempunyai maklumat tepat serta keperluan terhadap pemahaman proses undang-undang atau negara hukum perlu dihormati.

“Saya hendak anak-anak fikir bagaimana, adakah isu itu harus diketahui, ya kerana Fakulti Undang-Undang ada…ada dari UiTM dan lain-lain? Belajar undang-undang kena tahu itu. Ini dikatakan negara hukum, rule of law, ada proses dan peruntukan undang-undang.

“Jadi, jika ada kes di mahkamah, parlimen atau kita tidak boleh bincang secara terbuka yang disebut subjudis. Jadi kena tunggu, itu hormat proses undang-undang.

“Bila saya jawab begitu, wah dikecam, hendak tipu, selindung fasal adendum. Itu yang saya katakan kedangkalan ilmu kerana maklumat tidak disampaikan kerana budaya kita kadang-kadang budaya picisan, baca sekerat-sekerat, amalan membaca mencari kebenaran tidak ada, tabayyun tidak ada,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya