KOTA BHARU: Situasi banjir yang melanda negeri ini semakin pulih apabila tinggal 2,268 mangsa masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi tadi.
Jurucakap InfoBencanaJKM berkata, kesemua mangsa dari 655 keluarga itu berlindung di empat PPS masing-masing tiga di Tumpat dan satu di Rantau Panjang.
“Daripada jumlah itu, Tumpat menempatkan 2,199 mangsa banjir manakala Rantau Panjang 69 orang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat masih melepasi paras bahaya.
Dua lagi sungai iaitu Sungai Sokor di Tanah Merah dan Sungai Golok (Rantau Panjang) berada pada tahap amaran.
Dalam perkembangan lain, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran banjir hampir 30 kampung yang terletak dalam radius lima kilometer berhampiran Sungai Galas, Sungai Lebir dan Sungai Pahi di Kuala Krai, dijangka mengalami banjir mulai esok hingga Jumaat depan.
Aamaran itu dikeluarkan JPS susulan ramalan hujan berterusan tahap waspada oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Khamis lalu.
Antara kampung terbabit di kawasan Sungai Galas ialah Kampung Mambong, Kampung Dabong, Kampung Kemubu, Kampung Kuala Gris, Kampung Bahagia dan Kampung Biak.
Di Sungai Lebir, kampung terbabit ialah Kampung Tualang, Kampung Bekok, Kampung Manik Urai, Kampung Gajah, Kampung Laloh dan Kampung Karangan.
Selain itu, Kampung Manjor, Kampung Mesek, Kampung Baru Sungai Mengkuang, Kampung Temiang, Kampung Cheneh, Lata Rek, Kampung Lela Jasa, Kampung Budi dan Kampung Sungai Sam.
Kampung yang dijangka berlaku banjir di sekitar Sungai Pahi pula ialah Kampung Batu Mengkebang, Kampung Pahi, Kampung Gatal, Taman Perisai Wira, Dusun Damar, Kampung Belanga, Kampung Sungai Pas dan Kampung Temalir.-UTUSAN