KOTA BHARU: Tindakan pantas orang ramai berjaya menyelamatkan seorang wanita warga emas daripada lemas di Sungai Kelantan berhampiran Lembah Sireh di sini hari ini.
Difahamkan, dalam kejadian itu mangsa berusia lingkungan 70-an itu dipercayai telah melangkah pagar yang terdapat pada laluan pejalan kaki di tepi Sungai Kelantan sebelum dilihat terkapai-kapai di dalam sungai oleh orang ramai.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darulnaim, Pegawai Bomba Kanan II, Ramli Abdullah berkata, orang ramai yang berada dilokasi kemudian telah membawa naik warga emas berkenaan ke atas tebing.
“Selepas diselamatkan warga emas itu berada dalam keadaan tidak bermaya serta hanya mendiamkan diri.
“Semasa kami sampai, suami kepada wanita terbabit turut berada di lokasi,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Ramli memberitahu, sebelum itu pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 2.57 petang.
Katanya, seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera telah ke lokasi kejadian.
“Sejurus tiba di lokasi kami dapati wanita berkenaan telah berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba,” katanya.-UTUSAN