Tindakan pantas, berani Kamarul Ekhsan dapat penghargaan PDRM - Utusan Malaysia

Tindakan pantas, berani Kamarul Ekhsan dapat penghargaan PDRM

MOHD. Yusri Hassan (tengah) sambil diperhatikan Ahmad Dzaffir (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Kamarul Ekhsan di IPD Seremban hari ini.-UTUSAN /NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tindakan pantas seorang pengguna jalan raya yang memberhentikan sebuah lori itu selepas menyedari tayar lori berkenaan bergoyang dan hampir tercabut dalam kejadian di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) dekat Ayer Keroh, Melaka pada Oktober lalu mendapat penghargaan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Lelaki itu yang juga seorang mekanik, Kamarul Ekhsan Abdul Ghani, 46, berkata, dia bersyukur menerima penghargaan tersebut namun lebih penting tindakan beraninya itu dapat mengelakkan perkara buruk daripada berlaku

“Saya memuat naik video di Facebook tentang kejadian tersebut pada Oktober lalu, ia bukannya bertujuan untuk meraih publisiti tetapi atas rasa tanggungjawab.

“Ia bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain kerana mereka gusar berhadapan dengan situasi sebegitu kerana kadang-kadang ada pemandu lori bersikap agresif apabila kita menegur, ” katanya kepada pemberita selepas menerima sijil penghargaan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini hari ini.

Sijil itu disampaikan oleh Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan. Yang hadir sama, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.

Video berdurasi lebih seminit itu dimuat naik Kamarul Ekhsan yang memaparkan tindakannya yang memberhentikan sebuah lori yang tayarnya hampir tercabut dalam kejadian pada 5 Oktober lalu yang kemudiannya tular semula dan dikesan PDRM pada 25 Disember lalu

“Kejadian berlaku kira-kira pukul 1.20 petang, saya telah ternampak sebuah lori yang bahagian tayar belakang sebelah kanannya bergoyang. Memang nampak jelas tayar lori itu seperti mahu tercabut.

“Saya mengekori dan cuba memintas sebanyak tiga kali namun gagal dan kali keempat saya memintas semula lalu dan menunjukkan ke arah tayar lori tersebut kepada pemandu lori itu yang kemudiannya memberhentikann kenderaan berat itu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Yusri berkata, PDRM berterima kasih kepada pengguna jalan raya yang prihatin dengan keadaan sekeliling semasa mereka memandu.

“Saya mengingatkan kepada semua pemandu kenderaan agar sentiasa memastikan kenderaan yang digunakan dalam keadaan baik dan bertanggungjawab menjaga keselamatan nyawa semasa menggunakan jalan raya,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya