Tidak mustahil Pas tarik 'hand brake' - Utusan Malaysia

Tidak mustahil Pas tarik ‘hand brake’

WAN EMRIL NIZAM WAN EMBONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Tidak mustahil Pas menarik diri daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus bersikap angkuh sehingga sanggup ‘memijak kepala’ kebaikan kepimpinan parti tersebut.

Penganalisis politik, Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, pada ketika ini sudah jelas dan terang lagi bersuluh hubungan antara Pas serta Bersatu ibarat retak menanti belah.

Menurutnya, beliau melihat Bersatu terus bersikap seperti ‘abang besar’ dalam PN dan lupa bahawa Pas sebenarnya lebih banyak memiliki kerusi di Parlimen selain berjaya menguasai empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah.

“Sebaliknya, apa yang berlaku ketika ini, Pas ibarat melukut di tepi gantang seolah-olah parti itu tidak layak berada dalam kepimpinan tertinggi PN.

“Pas sepatutnya ‘demand’, kerana dalam PN merekalah ‘abang besar’ bukan Bersatu. Kerusi Melayu majoriti dimenangi Pas. Di Parlimen, Pas mempunyai 43 kerusi iaitu bilangan tertinggi dalam sejarah 72 tahun penubuhan parti itu. Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, Pas menang 105 kerusi, Bersatu (40 kerusi) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) satu.

“Tindakan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar meletak jawatan Bendahari Agung PN merupakan tanda protes terhadap kepimpinan gabungan itu. Ia juga memperlihatkan hubungan Pas dan Bersatu dalam PN semakin tidak harmoni,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Terdahulu, peletakan jawatan Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu sebagai Bendahari Agung PN agak mengejutkan terutama kepada ahli dan penyokong gabungan tersebut.

Mengulas perkara tersebut, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dilaporkan sebagai berkata, jawatan-jawatan utama dalam PN tidak sepatutnya hanya dikuasai Bersatu sehingga me­minggirkan parti lain dalam gabungan itu terutama Pas.

Hashim secara terbuka menegaskan, meskipun pimpinan Pas tidak banyak bersuara dalam isu tersebut demi menjaga hubungan, namun Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN sepatutnya lebih adil dalam menentukan kedudukan dalam gabungan secara lebih itu.

Majlis Tertinggi PN yang bermesyuarat pada 9 Disember lalu mengesahkan pelantikan enam jawatan penting yang ke­semuanya milik Bersatu.

Ia melibatkan pelantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung, Ketua Penerangan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ketua Wanita.

Bersatu juga menamakan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Timbalan Pengerusi PN manakala Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin dan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) gabungan tersebut.

Mengulas lanjut, Wan Emril Nizam berkata, dengan apa yang berlaku itu, ia jelas memperlihatkan bahawa PN gagal membuktikan bahawa gabungan tersebut membudayakan norma politik baharu yang lebih demokratik seperti mana dinyatakan oleh Muhyiddin sebelum ini.

“Jangan ingat Pas tidak berani, Dr. Sam sudah pun buktikan bahawa parti ini mempunyai hak bersuara dan berada dalam barisan kepimpinan tertinggi PN agar boleh bersama-sama dalam memperjuangkan kebajikan rakyat selain menjadi semak dan imbang terhadap kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN