KOTA BHARU: Polis Kelantan mengesahkan tiada letupan dan gegeran dikesan berlaku di Machang dekat sini sebagaimana yang tular di laman sosial hari ini.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan mendapati, tiada sebarang aktiviti menggunakan bahan letupan termasuk kebakaran telah dikesan berlaku semasa kejadian sebagai yang didakwa.
“Terdahulu, pihak kami (Polis Kelantan) telah mengesan beberapa komen di Facebook berkait satu gegaran kuat berlaku di Machang sehingga ia tular di media sosial kira-kira pukul 9.15 pagi tadi.
“Berdasarkan maklumat seorang lelaki, dia terdengar bunyi kuat di ruang udara yang dipercayai sebuah jet semasa berada di rumahnya di Kampung Kelaweh, Machang kira-kira pukul 1.30 pagi. Siasatan mendapati, kejadian itu tidak berlaku,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini sebentar tadi.
Terdahulu, tular di media sosial ada sesetengah pihak mendakwa berlaku gegaran kuat dipercayai berlaku di kawasan sekitar Machang dekat sini malam tadi.
Gegaran tersebut turut disusuli bunyi kuat sehingga menimbulkan rasa cemas dalam kalangan penduduk di kawasan setempat
Mohd. Yusoff memberitahu, pihaknya menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggusarkan masyarakat.-UTUSAN