PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan agar usaha memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN diteruskan dalam mesyuarat akan datang.
Beliau berkata, cadangan tersebut telah dibincangkan dengan bekas Presiden Indonesia, Joko Widodo semasa lawatan beliau ke Indonesia ketika masih memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.
Katanya, walaupun bahasa Melayu di rantau ini mempunyai perbezaan dari segi sebutan dan dialek, asasnya tetap sama iaitu Bahasa Melayu.
“Semasa perjumpaan rasmi saya dengan Jokowi, beliau telah membangkitkan perkara ini. Pada dasarnya, Indonesia tiada halangan, namun terdapat beberapa pihak di Indonesia yang berpendapat bahawa bahasa Melayu mempunyai pelbagai variasi.
“Perkara ini perlu dibincangkan kembali dalam mesyuarat ASEAN pada masa akan datang. Saya berharap Malaysia sebagai tuan rumah pada tahun hadapan boleh memainkan peranan utama bagi meneruskan langkah ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Pelancaran Pertubuhan Aspirasi Bahasa Melayu Malaysia, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ismail berkata, penggunaan bahasa Melayu perlu diamalkan secara menyeluruh, bukan sahaja dalam perkhidmatan awam tetapi juga di peringkat eksekutif, legislatif dan kehakiman.
“Mahkamah Tinggi, Parlimen semuanya menggunakan bahasa Melayu. Malah, arahan telah dikeluarkan supaya semua urusan surat-menyurat rasmi kerajaan dibuat dalam bahasa Melayu.
“Jika ada yang masih menggunakan bahasa lain, ada arahan jelas untuk tidak terima (surat) tersebut,” katanya.
Jelas beliau, pemikiran rakyat Malaysia perlu berubah khususnya mereka yang masih mengagungkan bahasa Inggeris dan malu bertutur dalam bahasa Melayu.
“Pemikiran seperti ini perlu diubah jika kita mahu bahasa Melayu dihormati, bukan sahaja di dalam negara, malah di peringkat antarabangsa,” katanya. – UTUSAN