KOTA BHARU: Taktik sepasang suami isteri menyorok perut khinzir seberat dua kilogram dalam beg sejuk beku terkongkar selepas ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini pada 12 Disember lalu.
Pasangan suami isteri berusia 40-an yang pulang dari Singapura itu ditahan menerusi pemeriksaan rutin oleh agensi berkenaan di LTSIP.
Ketua Pintu Masuk LTSIP Mohd. Ariwadi Mohd. Salleh berkata, hasil pemeriksaan lanjut yang dilakukan mendapati pasangan suami isteri itu tidak mempunyai Permit Import Maqis dan Sijil Kesihatan Veterinar.
Katanya, tindakan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian, tumbuhan, binatang, karkas, ikan, tanih dan mikroorganisma tanpa permit, lesen atau perakuan yang sah adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta 728.
“Jika disabitkan kesalahan mereka yang terlibat boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Mohd. Ariwadi memberitahu, pihaknya akan terus memperketatkan pemeriksaan bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan keterjaminan keselamatan makanan mematuhi aspek kesihatan manusia.
Katanya, selain itu langkah itu bertujuan mengawal kemasukan penyakit yang boleh mengancam industri penternakan dan makanan di Malaysia.-UTUSAN