MARAN: Pekan koboi Sungai Jerik atau lebih sinonim dengan panggilan Tong Kiat di sini, suatu ketika dahulu menjadi syurga membeli-belah buat warga Felda Jengka, namun kini hanya tinggal rumah kedai yang tidak berpenghuni.
Situasi itu berlaku selepas Pekan Tong Kiat di laluan jalan lama Maran-Jerantut dirobohkan sekitar 1995 bagi tujuan melebar dan menaik taraf jalan.
Seorang peneroka Felda Ulu Jempol, Razak Alang, 70, berkata, pekan yang wujud sejak awal 1940-an itu menjadi lokasi wajib dikunjungi orang ramai khususnya sewaktu zaman kegemilangannya pada awal 1990-an.
“Ketika itu, lebih 40 bangunan papan menyediakan pelbagai keperluan sehingga lokasi ini menjadi tumpuan. Ketika itu, bandar Jengka sudah ada tapi warga Felda tetap berkunjung ke Tong Kiat untuk membeli barangan keperluan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang peniaga, Li Kung Kiu, 80, terkilan menerima arahan kerajaan ketika itu supaya mengosongkan premis perniagaan yang diusahakan lebih 40 tahun kerana alasan kedai berada di pinggir jalan dan terlibat projek melebarkan jalan Jerantut-Maran-Kuala Lumpur.
Menurutnya, dia terpaksa berpindah ke kawasan perumahan berhampiran dengan meninggalkan bangunan Tong Kiat begitu sahaja.
“Demi pembangunan, kami berpindah ke lokasi lain dengan harapan projek pelebaran jalan dapat dilaksanakan. Tetapi selepas lebih 30 tahun tiada maklumat terkini projek itu diteruskan dalam jangka masa terdekat,” katanya.
Peniaga barangan runcit, Tong Lui Lim, 79, pula menyifatkan arahan berpindah itu satu kesilapan kerana selepas bangunan dirobohkan, aura pekan Sungai Jerik atau Tong Kiat sudah hilang malah semakin sepi dikunjungi orang.
Katanya sehingga kini, penduduk masih menanti projek jalan Jerantut-Maran melalui laluan di pekan berkenaan menjadi kenyataan terutama dalam tempoh empat lima ke tahun akan datang.