KLANG: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan kerajaan negeri menubuhkan pelan tindakan bagi mengatasi banjir di negeri ini dan mahuu melihat hasilnya dalam masa terdekat.
Malah, baginda turut mengingatkan teguran yang kerap kali diberikan kepada pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri supaya mengambil langkah efektif dan perancangan rapi dalam mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di Bandaraya Diraja Klang serta daerah lain.
“Beta tidak mahu mendengar lagi apa-apa alasan diberikan jika gagal mengatasi masalah yang melanda.
“Beta difahamkan berjuta-juta ringgit peruntukan dikhaskan bagi mengatasi masalah banjir untuk jangka pendek dan panjang, namun seolah-olah tiada hasilnya langsung,” titah baginda pada Majlis Perasmian Masjid Jamek Cina Muslim Klang, hari ini.
Baginda menegaskan, semua pihak berkuasa perlu belajar dari kesilapan lalu terutamanya bencana banjir pada Disember 2021 yang hampir melumpuhkan sebahagian daerah di Selangor dan cuba memperbaikinya dengan berkesan rakyat.
Jelas Sultan Selangor, alasan perubahan iklim dan kadar hujan yang tinggi tidak lagi boleh menjadi alasan untuk mengatasi banjir daripada berlaku.
“Takkanlan kita hendak gunakan alasan banjir berlaku disebabkan perubahan iklim atau penurunan hujan yang tinggi dan luar biasa akibat daripada act of god.
“Beta sudah penat untuk mengingatkan masalah itu kepada kerajaan dan pihak berkuasa tempatan setiap tahun, namun semuanya tiada diambil peduli umpama ‘mencurah air di daun keladi’. Kenapa masalah itu tidak dapat kita selesaikan?” tegas baginda.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan kekecewaan terhadap tahap kebersihan di Bandaraya Diraja Klang termasuk sungai yang dicemari teruk dengan sampah sarap.
“Beta banyak menerima rungutan daripada orang ramai terutama para pelancong dalam dan luar negara termasuk pelancong kapal ‘cruise’ yang masuk melalui pintu masuk utama Pelabuhan Klang dan menyatakan pemandangan di Bandaraya Diraja Klang begitu tercemar dan amat menjijikan.
“Tidak guna kita berbangga dengan pencapaian pembangunan yang pesat jika perkara asas berkaitan kebersihan pun kita gagal laksanakan dan mengatasinya.
“Perlu diingatkan keadaan sungai yang dipenuhi sampah sarap, longkang yang tersumbat dan tidak dijaga dengan rapi mengakibatkan banjir sering berlaku di Bandaraya Diraja Klang,” jelasnya. – UTUSAN