TEMERLOH: Semua pihak diingatkan supaya cakna dengan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang meramalkan gelombang kedua banjir dalam tempoh dua minggu sehingga 16 Disember ini melibatkan negeri di Pantai Timur termasuk Pahang.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri`ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga bertitah agar umat Islam berdoa agar musibah banjir tidak berlaku di Pahang seperti fasa pertama melibatkan daerah seperti Temerloh, Raub, Lipis dan Jerantut.
“Penduduk yang tinggal di pinggir Sungai Pahang, anak-anak sungai, tali air dan longkang besar agar bersedia dengan sebarang kemungkinan banjir fasa kedua.
“Perhatikan pergerakan anak-anak kecil agar tidak bermain air seperti di longkang bagi mengelakkan tragedi meragut nyawa ahli keluarga,” titah baginda selepas majlis penyerahan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) Daerah Temerloh kepada dua penerima, Suzaini Bachik, 48, dan Shahbuddin Md. Rashid, 57, di Kampung Bukit Lada, Kerdau di sini, semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Al-Sultan Abdullah memberi jaminan projek Ru’RASA akan diteruskan untuk fasaseterusnya supaya lebih ramai rakyat yang berpendapatan rendah memperolehi kediaman sendiri.
“Sehingga kini, sebanyak 790 unit rumah meliputi fasa satu, dua dan tiga dibina bagi membantu golongan miskin mengikut daerah di Pahang. Bagi fasa dua, ia melibatkan pembinaan 260 unit rumah dan setakat ini dua buah rumah sudah siap untuk dihuni di sini. Projek seterusnya dirancang akan dilaksanakan mengikut jadual.
“Pembinaan rumah dengan kerjasama negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) atas dasar persaudaraan erat dua keluarga ini dijangka berterusan dalam membantu golongan memerlukan di Pahang,” titah baginda.
Sementara itu, MetMalaysia menerusi kenyataan berkata, hujan lebat berterusan tahap buruk dan waspada diramal berlaku di kebanyakan negeri terutama Pantai Timur hingga Rabu ini manakala di Pahang, ia melibatkan daerah Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang.