Sultan Pahang titah masjid, surau di Pahang solat hajat hindari musibah banjir - Utusan Malaysia

Sultan Pahang titah masjid, surau di Pahang solat hajat hindari musibah banjir

AL-SULTAN ABDULLAH RI'AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Semua masjid dan surau di Pahang diminta melakukan solat hajat berikutan bencana banjir yang melanda di beberapa negeri akibat fenomena Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar solat hajat dilakukan di setiap masjid dan surau selepas solat Jumaat serta Maghrib pada setiap hari.

Titah baginda, solat hajat ini diadakan bagi sama-sama mendoakan agar dihindarkan banjir, bala bencana dan supaya Allah SWT mengangkat semua musibah dan sesiapa yang diuji diberikan keselamatan serta kesabaran.

Pada masa sama, baginda turut berdoa agar semua yang terlibat dengan banjir besar seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah diberikan kemudahan, kekuatan dan kesabaran untuk mengharungi musibah yang melanda.

“Doa sama turut dipanjatkan kepada Allah SWT agar negeri Pahang turut dilindungi daripada sebarang bencana dan berada dalam keadaan selamat sejahtera,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut meminta agar orang ramai mengambil langkah berhati-hati pada musim banjir ini dan menjaga keselamatan diri serta ahli keluarga masing-masing selain menghindari kawasan berisiko seperti sungai dan laut bagi mengelak sebarang tragedi.

“Ibu bapa dan penjaga diingatkan agar sentiasa memantau dan menasihatkan anak-anak supaya tidak bermain di tepi sungai atau longkang berhampiran kerana berisiko berlakunya perkara yang tidak diingini,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN