Sukan Perlis diberi penjenamaan baharu, sukan cara orang Perlis

Sukan Perlis diberi penjenamaan baharu, sukan cara orang Perlis

Pix PARA penerima insentif dari pasukan angkat berat Perlis bergambar pada majlis insentif kemenangan sempena temasya Sukan Malaysia (Sukma) dan Para Sukma Sarawak serta Paralimpik Paris 2024 di Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sukan di negeri ini akan diberi penjenamaan baharu yang beridentiti sendiri dengan falsafah pembudayaan sukan mengikut kaedah atau cara orang Perlis.

Untuk itu, setiap penyertaan dalam semua sukan mestilah terdiri dalam kalangan anak jati negeri ini agar peruntukan yang disediakan oleh kerajaan negeri dinikmati sepenuhnya oleh rakyat Perlis.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Mohd Ridzuan Hashim berkata, pelan yang dilaksanakan itu bercirikan empat teras utama merangkumi pembudayaan sukan dalam kalangan rakyat Perlis, memantapkan pembangunan sukan secara berfokus dan memperkasakan aplikasi Sains Sukan.

Selain itu, kata Mohd. Ridzuan, penekanan kepada pendidikan dan kebajikan atlet serta pengukuhan kerjasama antara pemegang taruh dan pemasaran sukan.

“Tumpuan khusus juga diberikan kepada tahap kepakaran kejurulatihan, kebajikan atlet, keselesaan pusat latihan dan penganjuran kejohanan. Semua ini diberi keutamaan kepada rakyat negeri Perlis untuk mengambil bahagian sebagai pemain utama bagi memastikan pelan ini dilaksanakan dengan jayanya,” katanya pada majlis insentif kemenangan sempena temasya Sukan Malaysia (Sukma) dan Para Sukma Sarawak serta Paralimpik Paris 2024 di sini, semalam.

Insentif kepada atlet-atlet dari negeri ini yang mempamerkan aksi cemerlang dalam temasya Sukma dan Para Sukma Sarawak dan Paralimpik Paris 2024 yang bernilai keseluruhan sebanyak RM497,300 itu disampaikan oleh Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.

Datuk Abdul Latif Romly antaranya yang telah berjaya membawa pulang pingat perak menerusi acara lompat jauh lelaki (T20) di temasya Paralimpik Paris 2024 menerima insentif bernilai RM80,000.00 kerana telah mengharumkan nama negeri di peringkat dunia.

Pemberian insentif terbesar adalah kepada kontinjen Sukma iaitu sebanyak RM280,900 termasuk bayaran insentif awal berjumlah RM27,800 iaitu dengan pencapaian 12 emas, 15 perak dan 16 gangsa yang sekali gus menjadikan keseluruhan 43 pingat.

Untuk rekod, pencapaian tersebut merupakan pencapaian yang terbaik pernah diraih bagi temasya dwi tahunan itu di luar negeri Perlis.

Manakala, kontinjen Para Sukma yang telah mencapai kejayaan dengan membawa pulang enam emas, 13 perak dan 16 gangsa
menikmati imbuhan sebanyak RM136,400.

Sementara itu, Mohd Ridzuan berkata, Perlis menyasarkan 20 pingat emas pada temasya Sukma 2026 dengan berapa sukan berpontensi besar menyumbang pingat itu khususnya angkat berat, wushu dan beberapa lagi.

“Untuk ke arah itu, kita juga mempunyai pelapis yang berpontensi besar ke arah merealisasikan sasaran 20 pingat emas,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya