KUANTAN: Suami pelakon dan bekas peragawati terkemuka tanah air, Zahnita Wilson didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan isterinya.
Tertuduh, Abd. Zackery Ghouse Abd. Ghani, 46, yang merupakan ahli perniagaan turut didakwa menggunakan dadah di mahkamah berasingan.
Abd. Zackery Ghouse didakwa mengikut Seksyen 323/326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Bagaimanapun tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan isterinya selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Menurut kertas pertuduhan, tertuduh kira-kira pukul 8.20 pagi pada 7 Mei lalu di sebuah rumah di Indera Mahkota Kuantan didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Zahnita, 39.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326 A kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga setahun atau denda sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh B. Deevagaran manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman.
Muhamad Amirull Afiqq memohon mahkamah mengenakan jaminan yang rendah kerana tertuduh menyara empat anak termasuk seorang anak orang kelainan upaya (OKU) serta menyara ibu dan bapa berusia 71 tahun.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 7 Januari depan.
Sementara itu di Mahkamah Majistret berlainan tertuduh didakwa di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana didakwa menggunakan dadah.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat.
Menurut kertas pertuduhan, tertuduh pada kira-kira pukul 5.45 petang 2 Disember lalu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Kuantan didapati menggunakan dadah berbahaya iaitu 11-Nor-Delta-9-Tetrahydrocannabinol-9-Carboxylic Acid.
Tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun dan diwajibkan pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih satu tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Luqman Hakim Mohamad Usari manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman.
Mahkamah menetapkan wang jaminan RM2,600 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 2 Februari depan. – UTUSAN