Sri Pahang 'liat', JDT berhempas pulas menang 3-1 - Utusan Malaysia

Sri Pahang ‘liat’, JDT berhempas pulas menang 3-1

PENYERANG JDT, Bergson Da Silva dikawal dua pemain pertahanan Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI:  Penyandang juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) berhempas pulas untuk menjinakkan skuad Tok Gajah 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan JDT mengutip 46 mata daripada 16 perlawanan, melebarkan kedudukan kepada 11 mata daripada pencabar terdekat, Selangor FC yang mengutip 35 mata.

Selaku pasukan pelawat, anak buah Hector Bidoglio bekerja keras untuk meruntuh benteng pasukan Sri Pahang FC (SPFC) namun gerakan demi gerakan yang dilancarkan dipatahkan pertahanan lawan.

Anak buah Fandi Ahmad berjaya menahan asakan bertali arus skuad Harimau Selatan apabila hanya membenarkan pasukan lawan melakukan hanya dua percubaan tepat ke arah pintu gol.

Penjaga gol, Zarif Irfan Hashimuddin bertindak cemerlang menafikan dua percubaan tepat oleh Oscar Arribas pada minit ke-23 dan ke-25 bagi memastikan tiada jaringan berjaya dihasilkan pada babak pertama.

Bersambung babak kedua, JDT tidak menunggu lama untuk memecahkan kebuntuan yang berpunca daripada sepakan sudut yang diambil Juan Muniz terkena bahagian belakang  Adam Nor Azlin lalu melintasi garisan gol pada minit ke-48.

PEMAIN tengah JDT, Oscar Arribas dikawal dua pemain pertahanan Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Jaringan itu memberi tonik bagi Harimau Selatan untuk menggandakan asakan bagi mencari kedudukan selesa.

Hasilnya, ‘pasukan pelawat’ berjaya menambah jaringan berpunca hantaran cantik Muniz mencari Bergson Da Silva yang melakukan larian ke dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan deras menggegar gawang SPFC.

Kegembiraan JDT tidak bertahan lama apabila skuad Tok Gajah merapatkan kedudukan seminit kemudian hasil jaringan pemain gantian, David Rowley yang melakukan tandukan dari jarak dekat pada minit ke-53.

Bergson berpeluang menjarakkan kedudukan, namun tindakan susulan setelah Zarif Irfan menyelamatkan sepakan percuma tidak berhasil apabila rembatannya jauh tersasar pada minit ke-58.

Penyerang kelahiran Brazil itu berjaya menambah jaringan pada minit ke-72 berpunca daripada sepakan bebas Muniz, namun dibatalkan apabila dia terlebih dahulu berada di kedudukan ofsaid.

Muniz dan pemain gantian, Romel Morales berpeluang untuk menambah jaringan  namun Zarif Irfan berada di posisi yang tepat menafikan percubaan tersebut.

Pada penghujung babak permainan, JDT dihadiahkan sepakan penalti setelah Arif Aiman Hanapi dikasari dalam kotak penalti dan Bergson tidak berdepan tugas sukar menggegar gawang SPFC meskipun penjaga gol melayangkan badan ke arah yang tepat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya