KUALA LUMPUR: Sindiket penipuan telefon semakin agresif apabila memaksa mangsa melaporkan diri setiap hari dengan memberi tekanan psikologi yang boleh menyebabkan kerugian besar.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, terbaharu, seorang pesara kerajaan berusia 61 tahun mengalami kerugian sebanyak RM804,903 akibat terperdaya dengan taktik licik sindiket tersebut.
Kata beliau, pihaknya menerima laporan polis dibuat selepas pengadu menyedari dirinya telah ditipu pada 6 Disember lalu.
“Kejadian bermula pada 15 November lalu apabila mangsa menerima panggilan daripada individu yang mengaku sebagai pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) Cawangan Kuantan.
“Pemanggil mendakwa terdapat tunggakan bil elektrik bagi sebuah rumah di Kuantan, namun mangsa menafikan pemilikan rumah tersebut.
“Panggilan tersebut kemudian disambungkan kepada individu bernama ‘Insp Fahmi’ dari ‘IPK Pahang’ yang mendakwa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan waran tangkap telah dikeluarkan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ramli memaklumkan mangsa kemudian dihubungi oleh seorang lagi individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘Dato’ Fauzi’ dari Bank Negara Malaysia.
Katanya, suspek mengarahkan mangsa melaporkan diri setiap hari kepadanya dan menyerahkan kad bank serta nombor pin atas alasan siasatan lanjut.
“Akibat tertekan, pengadu menyerahkan kad bank milimnya dengan meletakkan di atas tembok pagar rumah.
“Mangsa juga diarahkan mengeluarkan wang simpanan dari Tabung Haji dan memasukkannya ke dalam akaun CIMB miliknya,” ujarnya.
Menurut Ramli, mangsa turut beberapa kali membuat pemindahan wang ke akaun lain yang diarahkan sindiket, kononnya bagi mengelakkan daripada direman.
Jelasnya, pengadu hanya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan setelah membaca hantaran mengenai taktik sindiket Phone Scam di Facebook.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Menurut Ramli, taktik agresif sindiket kali ini lebih membimbangkan kerana mereka memaksa mangsa melaporkan diri setiap hari sekali gus memberi tekanan mental yang serius.
“Lebih membahayakan, lokasi kediaman mangsa turut didedahkan, berpotensi mengundang jenayah lain seperti rompakan atau penculikan.
“Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan panggilan mencurigakan, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan pemindahan panggilan antara agensi,” katanya.