BUKIT MERTAJAM: Malaysia memiliki kekuatan pensijilan halal yang diyakini dapat mewujudkan lebih banyak pakatan perdagangan antarabangsa pada masa depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini, industri halal memiliki potensi besar dengan nilai dagangan halal dunia yang mencecah lebih AS$1 trilion (RM4.5 trilion).
Beliau berkata, industri halal tidak hanya melibatkan penyembelihan daging sahaja, malah, ia turut merangkumi pelbagai produk perubatan, kosmetik dan sebagainya.
“Kita seharusnya memandang serius bagaimana kita boleh mengangkat keupayaan untuk menjadi betul-betul pusat kegiatan industri halal termasuk kewangan Islam secara menyeluruh mengikut matlamat Maqasid Syariah.
“Fokus halal sebenar dalam semua bidang halal termasuk kebersihan perniagaan halal dan terjamin, ada produk halal tapi tahap kebersihannya dipertikai, ada juga (produk) yang mempunyai kesan-kesan sampingan kimia dan pencemaran.
“(pengiktirafan) halal itu menjadi tarikan kepada negara-negara termasuklah negara bukan Islam dan dianggap penting kerana ia melibatkan pengertian kesihatan secara menyeluruh, ini yang harus diteroka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIXEX) kali ke-13 di kawasan tempat letak kereta Gravitas, Jalan Baru di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, banyak negara termasuk negara bukan Islam menyatakan keinginan untuk menjalinkan kerjasama membangunkan industri halal susulan kekuatan pengiktirafan sijil halal Malaysia yang diiktiraf di seluruh dunia.
“Banyak negara antaranya Qatar, China, Vietnam dan Laos minta kerjasama kita kerana Malaysia mempunyai kekuatan dan pengiktirafan terutamanya dari segi pensijilan halal.
“Negara-negara lain ada (sijil halal) tetapi Malaysia yang terbaik dan potensi perdagangan halal ini mencecah lebih AS$1 trilion, jadi jumlahnya memang besar,” katanya.