Sidang DUN Melaka: Melaka cadang 12 tapak residensi rakyat

Sidang DUN Melaka: Melaka cadang 12 tapak residensi rakyat

RAIS Yasin pada Sidang DUN Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan Melaka (LPM) telah mengemukakan cadangan membabitkan 12 tapak untuk pembangunan projek Program Residensi Rakyat (PRR) di kawasan bandar kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Pengerusi Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, ia bakal melibatkan sebanyak 2,394 unit rumah di kawasan seluas 33.39 hektar.

Ujarnya, lokasi-lokasi yang dicadangkan adalah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu (160 unit rumah teres), DUN Machap Jaya (600 unit rumah pangsa); Tun Kudu (300 unit rumah pangsa), Pondok Batang (130 unit rumah teres), Nyalas (50 unit rumah teres) dan DUN Paya Rumput (280 unit rumah pangsa).

“Kawasan lain yang dicadangkan adalah di Lesong Batu (320 unit rumah teres), DUN Asahan (160 unit rumah teres), Masjid Baru (50 unit rumah teres), DUN Sungai Udang (120 unit rumah pangsa), DUN Durian Tunggal (80 unit rumah teres) dan DUN Sungai Rambai (144 unit rumah pangsa),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan dikemukakan Siti Faizah Abd. Azis (BN-Sungai Rambai) pada Sidang DUN Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Menjawab soalan Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem (BN-Duyong) berkenaan inisiatif dalam menggalakkan pembangunan perumahan mampu milik di kawasan bandar, Rais berkata, kerajaan negeri telah memperkenalkan dasar yang menetapkan kuota untuk projek pembangunan perumahan baharu termasuk di kawasan bandar.

Katanya, pemaju perumahan perlu menyediakan sebanyak 50 peratus daripada pembangunan perumahan bertanah melebihi 4.04 hektar dan 2.02 hektar bagi rumah bertingkat dengan pembinaan rumah mampu milik.

“Dasar ini terpakai kepada pemaju perumahan di seluruh negeri ini kecuali Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) yang lebih fokus kepada pembangunan komersial.

“Rumah mampu milik yang ditetapkan terdiri daripada Rumah Bahagia berharga RM70,000, Rumah Sejahtera bernilai RM120,000, Rumah Impian A berharga RM180,000 dan Rumah Impian B bernilai RM250,000,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya