KLANG: Selangor mencatatkan perolehan hasil negeri melepasi 118 peratus sasaran sebanyak RM2.59 bilion berbanding RM2.2 bilion sehingga 9 Disember lalu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, catatan itu tertinggi mencerminkan keyakinan komuniti pelabur kepada kepada negeri ini sama ada tempatan atau luar negara.
“Ia manifestasi dan bukti kesungguhan barisan penjawat awam dan anggota pentadbiran kerajaan Tuanku bagi memacu ekonomi negeri dan meningkatkan hasil demi manfaat rakyat jelata.
“Malah pencapaian ini mencerminkan keyakinan komuniti pelabur tempatan dan antarabangsa serta rakyat Tuanku kepada sikap dan kebertanggungjawaban kerajaan Tuanku dalam merencana dan mengagihkan kekayaan negeri secara efektif dan bersasar,” katanya ketika Sembah Ucap Taat setia Menteri Besar Selangor Bersempena Istiadat Penganugerahan Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor Ke-79, Sultan Sharafuddin Idris Shah, semalam.
Katanya, kerajaan negeri akan melancarkan Dasar Speed Selangor pada April depan yang memberi tumpuan kepada industri baharu seperti kecerdasan buatan dan industri sokongan, semikonduktor termasuk elektrik dan elektronik, pembinaan taman perindustrian, perumahan termasuk kategori mampu milik, aeroangkasa serta bidang pembuatan berteknologi tinggi.
Jelasnya, dasar tersebut akan menggunakan kaedah laluan pantas, pengawalan kendiri, industri haluan hijau serta teknologi seperti digital berkembar bagi mengurangkan tempoh masa pembinaan tujuh hingga 14 hari berbanding 3.5 bulan dengan menepati menepati syarat ditetapkan.
Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan, kerajaan negeri juga menerima dengan hati terbuka teguran Sultan Sharafuddin supaya kerajaan negeri mengambil langkah efektif mengatasi masalah banjir di Selangor.