Saya mohon maaf, akan bayar kompaun – Mohamad

Saya mohon maaf, akan bayar kompaun – Mohamad

Mohamad Hasan menyerahkan replika cek kepada Duta Kerajaan Jordan ke Malaysia, Dr. Ismail Madallah Suliman Maaytah (dua kanan) sambil disaksikan Duta Palestin di Malaysia, Walid Abu Ali (kanan) pada majlis penyerahan sumbangan di Wisma Putra, Putrajaya, semalam. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Saya akan bayar (kompaun), harap tidaklah banyak sangat,” kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Itu reaksi Mohamad susulan isu tular memaparkan dirinya merokok di kawasan larangan bersama sekumpulan individu di sebuah kedai makan di Rantau, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Menurutnya, beliau mengesahkan sudah menerima notis kesalahan itu yang diserahkan pegawai kesihatan Seremban pagi semalam.

“Saya tak dapat balik ke Seremban jadi, pegawai itu datang menemui saya di sini (Putrajaya) sebab esok (hari ini) saya nak ke Bangkok, Thailand.

“Saya menerima notis kompaun tersebut dan notis kompaun ini akan diserahkan kepada pejabat Peguam Negara ditetapkan jumlah kompaun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui Majlis Penyampaian Cek Sumbangan Bantuan Kemanusiaan Malaysia Kepada Palestin di Bawah Inisiatif Kerajaan Hashimiah Jordan, di sini semalam.

Beliau juga memohon maaf secara tulus kepada semua jika isu itu menjadi kerisauan awam.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memaklumkan, pegawai diberi kuasa dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban diarahkan untuk berjumpa Mohamad Hasan bagi menyerahkan notis kesalahan itu.

Dr. Dzulkefly Ahmad sebelum ini juga menegaskan tiada sesiapa yang terlepas daripada undang-undang Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) jika merokok dalam restoran.

“Setelah Akta 852 (Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awan, 2024) berkuat kuasa pada 1 Oktober yang lalu, saya berpegang kepada prinsip bahawa ‘Tiada siapa yg boleh mengatasi undang-undang,” balas Dzulkefly di X.

Dzulkefly mengulas gambar yang dimuat naik di akaun @MsianInciter memaparkan individu dipercayai Mohamad sedang memegang rokok bersama sekumpulan lelaki.

Dalam perkembangan lain, Malaysia menyerahkan sumbangan AS$5 juta (RM22.3 juta) kepada rakyat Palestin menerusi Inisiatif Kerajaan Hashimiah Jordan.

Sumbangan itu disampaikan Mohamad kepada Duta Besar Jordan Dr. Ismael Maddallah Suliman Maaytah di Wisma Putra, di sini.

Mohamad berkata, sumbangan AS$5 juta itu adalah hasil derma rakyat Malaysia di bawah tabung Akaun Amanah Khas Rakyat Palestin (AAKRP).

Katanya, sebanyak RM99 juta sumbangan telah dikumpulkan di bawah tabung AAKRP sejak ia ditubuhkan Oktober 2023.

Mohamad berkata, lebih RM70 juta telah diserahkan kepada pihak-pihak berkaitan yang dalam misi membantu Palestin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya