Sambutan Hari Kanak-Kanak Perlis 2024 penuh keceriaan - Utusan Malaysia

Sambutan Hari Kanak-Kanak Perlis 2024 penuh keceriaan

TUANKU Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat pada sambutan Hari Kanak-Kanak Perlis 2024 di Fairy Le Phenomenal Cafe Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sambutan Hari Kanak-Kanak Perlis 2024 berlangsung penuh keceriaan di Fairy Le Phenomenal Cafe di sini semalam.

Ia dianjurkan Children’s Industry Lifelong Learning and Development Hub (CHILD) dengan kerjasama strategik antaranya Tadika Khalifah Intelek, Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI), Fairy Le Phenomenal Cafe Kangar, The Good Shop, SD28 dan sukarelawan pelajar dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

Majlis tersebut berlangsung dari pukul 11:00 pagi hingga 5:00 petang dan berjaya menarik lebih 600 pengunjung termasuk kanak-kanak dan ibu bapa.

Acara ini bertambah meriah dengan keberangkatan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil diiringi sama anakanda-anakanda baginda iaitu Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail yang turut berkenan menyertai aktiviti bersama anak-anak dan ibu bapa.

Tuanku Dr Lailatul Shahreen menzahirkan rasa gembira melihat kanak-kanak menikmati masa berkualiti bersama keluarga melalui aktiviti riadah dan pembelajaran santai.

Baginda turut menekankan kepentingan program seperti ini dalam menggalakkan perkembangan holistik kanak-kanak serta menyatukan komuniti.

Sepanjang majlis, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan yang bukan sahaja memberi peluang kepada kanak-kanak bermain, malah turut melibatkan ibu bapa dalam sesi interaktif.

Aktiviti seperti permainan bongkah besar dan bongkah biru menjadi tarikan utama di mana kanak-kanak bersama ibu bapa membina struktur kreatif secara bersama-sama.

Aktiviti Messy & Clay Play pula memberi ruang kepada kanak-kanak untuk meneroka kreativiti melalui seni tangan yang menyeronokkan.

Dalam usaha memberi ilmu keibubapaan, sesi Bengkel Cerita dan Muzika telah dikendalikan oleh Prof. Dr Bustam Kamri, Pakar Pendidikan Awal Kanak-kanak dan barisan pensyarah dari Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI).

Aktiviti ini bukan sahaja memupuk minat bercerita dan muzik dalam kalangan kanak-kanak tetapi turut memberi inspirasi kepada ibu bapa untuk menyokong perkembangan emosi anak-anak.

Selain itu, sesi Napkin Folding dan Pemakanan yang dipimpin oleh Prof. Dr Naim Kamari, juga seorang Professor di UCMI berjaya menarik perhatian ibu bapa yang ingin menambah kemahiran praktikal dalam kehidupan harian.

Aktiviti bertema Dunia Mereka Dunia Kita turut memberi penekanan kepada perkembangan kanak-kanak melalui sesi perkongsian maklumat.

Sesi ini membantu ibu bapa memahami lebih mendalam tentang keperluan anak-anak di samping mendekatkan hubungan kekeluargaan melalui aktiviti santai yang mendidik.

Rata-rata pengunjung melahirkan rasa puas hati dan teruja menyertai majlis ini.

Mereka berharap agar program seperti ini diteruskan setiap tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai keluarga untuk bersama-sama menghargai masa berkualiti bersama anak-anak.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya