Sabak Bernam catat jumlah hartanah wakaf terbesar

Sabak Bernam catat jumlah hartanah wakaf terbesar

Hartanah wakaf
ANUAR Hamzah Tohar (kanan) ditemui pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Meet And Greet Bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Daerah Sabak Bernam mencatatkan jumlah hartanah wakaf terbesar di negeri ini dengan keluasan 14.2 hektar pada tahun lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Anuar Hamzah Tohar, ia merupakan penyumbang terbanyak kepada hartanah wakaf terkumpul di negeri ini yang berjumlah 28.8 hektar dengan nilai sebanyak RM36.2 juta.

“Itu menunjukkan masyarakat mula sedar tentang kepentingan berwakaf dan sebahagian besarnya tanah ini boleh digunakan untuk manfaat sama ada disewakan atau dibangunkan untuk pertanian dan lain-lain,” katanya kepada pemberita pada Majlis Meet And Greet Bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor, hari ini.

Jelasnya, terdapat beberapa pembangunan tanah wakaf di negeri ini turut dilihat sebagai aset bernilai untuk menjana ekonomi dan pembangunan sosial sekali gus memaksimumkan manfaatnya kepada masyarakat.

“Salah satu contoh iaitu projek ladang nanas diusahakan oleh seorang individu di Kampung Sungai Merab, Bangi. Selain itu, PWS juga membangunkan sebuah stesen minyak di atas tanah wakaf yang akan memberi manfaat kepada Masjid Sungai Ramal Luar, Kajang.

“Wakaf sangat luas, bukan sahaja dalam bentuk tunai, tetapi boleh juga digunakan dalam bentuk kebajikan seperti pembangunan, pendidikan dan institusi masjid,” ujarnya.

Dalam pada itu Anuar memberitahu, orang ramai atau agensi yang membuat kutipan wakaf di negeri ini dinasihatkan mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada PWS.

Menurutnya, mana-mana pihak boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk denda sehingga RM1,000 sekiranya menjalankan kutipan wakaf tanpa kebenaran.

“Kita tidak mahu kutipan wakaf ini disalahguna individu atau pihak tertentu dan ia jelas merupakan satu kesalahan dari sudut perundangan,” jelasnya.

Mengulas mengenai kutipan wakaf, beliau memberitahu, PWS mengutip sebanyak RM60 juta berbanding sasaran kutipan 112 juta dana wakaf pada tahun ini.

Katanya lagi, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM2.4 juta wakaf fisabilillah diagihkan kepada 69 institusi yang telah menerima kelulusan permohonan masing-masing.

“Daripada jumlah itu, sebanyak tujuh masjid menerima dana wakaf sebanyak RM329, 682, 12 surau pula RM430, 786 dan 45 institusi pendidikan sebanyak RM1.5 juta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya