PETALING JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat (FOI) akan dibentangkan di Parlimen pada persidangan depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) bersetuju membentangkan RUU tersebut pada 2025.
Kata beliau, pembentangan tersebut bagi meningkatkan ketelusan dalam perkhidmatan awam dengan memastikan hak individu untuk akses kepada maklumat di bawah bidang kuasa kerajaan terjamin dan terpelihara di sisi undang-undang.
Malah, jelasnya, mesyuarat yang dipengerusikan beliau turut mengambil maklum tentang penubuhan Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
“Langkah ini diambil untuk menambah baik imej dan persepsi negara berhubung tatakelola baik sektor awam di peringkat antarabangsa, khususnya dalam kalangan pelabur asing.
“Adalah menjadi tekad Kerajaan untuk sentiasa memperkukuh agenda tatakelola baik negara, mempertingkat integriti dan memerangi rasuah selaras dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya melalui hantaran media sosial, hari ini.
Pada 29 Ogos lalu, media melaporkan keputusan mengenai penggubalan FOI mencerminkan ketelusan Kerajaan Perpaduan yang berpegang kepada asas bahawa setiap rakyat harus diberikan hak untuk mencari, menerima dan memberikan maklumat melalui apa jua medium atau platform.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata dalam konteks Malaysia, matlamat utama kerajaan ialah memastikan orang awam mendapat akses kepada maklumat sahih yang lebih terbuka dan telus daripada pihak kerajaan.
Kata beliau, ia akan secara tidak langsung membantu rakyat untuk turut terlibat dalam proses pembentukan dasar negara.
Mengikut piawaian antarabangsa iaitu Resolusi 59 Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu 1946, kebebasan maklumat ditafsir sebagai hak akses yang diberikan kepada orang awam bagi mendapatkan maklumat milik badan awam atau kerajaan dan merupakan sebahagian daripada hak asasi untuk bersuara.