Rumah Ru'RASA bertiang di kawasan rendah, pinggir sungai - Sultan Pahang - Utusan Malaysia

Rumah Ru’RASA bertiang di kawasan rendah, pinggir sungai – Sultan Pahang

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tiga dari kanan) dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyampaikan kunci rumah Ru'RASA kepada penerima di Kampung Tanjung Gahai di Lipis, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Pembinaan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) di kawasan rendah dan di pinggir Sungai Pahang akan menggunakan model rumah tradisional Melayu Pahang bertiang bagi mengatasi masalah banjir yang berlaku setiap tahun di lokasi terbabit di negeri ini.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, pembinaan rumah bertiang di kawasan tersebut lebih menepati ciri-ciri keselamatan, memberikan keselesaan buat penghuninya dan mampu mengurangkan kerugian akibat kerosakan harta benda akibat banjir.

“Rumah orang Melayu dulu semua bertiang,  mungkin kos lebih sikit tetapi untuk jangka panjang ia lebih selamat.” Jadi ini boleh ditambah baik, kalau tidak tiada maknalah buat rumah tapi setiap tahun kena hadapi perkara yang sama (banjir),” titah baginda ketika ditemui pemberita sempena majlis pengurniaan kunci rumah Ru’RASA kepada 15 penerima sekitar daerah ini di Kampung Tanjung Gahai di sini hari ini.

Sementara itu, seorang bapa sembilan anak, Mat Akhir@Mat Nor Adam, 79, menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT dan gembira di atas pengurniaan rumah Ru’RASA.

Menurutnya, rumah itu dipohon untuk anaknya, Nizad, 34, yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) kategori pembelajaran.

“Saya mohon rumah ini tahun lepas dan tidak sangka bulan Julai tahun ini permohonan diluluskan dan hari ini kami menerima kunci disampaikan oleh Sultan Pahang.

“Saya hanya menumpang rezeki anak sahaja sebab dia seorang OKU jadi bila ada rumah ini masa depannya lebih terjamin,” katanya yang berasal dari Kampung Tanjung Gahai di sini.

Bagi ibu tunggal, Rosna Abd.Razak, 56, dari Kampung Binjai di sini pula berkata, sebelum ini rumah yang didiaminya ketika ini bersama tujuh lagi ahli keluarga sering dilanda banjir.

“Rumah yang makcik duduk sekarang terletak di kawasan rendah jadi bila musim tengkujuh rumah ini akan terjejas akibat dinaiki air banjir. Banyak kerugian dan kesulitan ditanggung. Rumah baru kami pula terletak di kawasan lebih tinggi jadi makcik rasa lebih selamat dan harap tidak lagi terkena bah (banjir),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN