RANTAU PANJANG: Peniaga di Bazar Siti Fatimah di sini mendakwa kerugian RM100,000 selepas barangan jualan mereka ditenggelami banjir ‘luar biasa’ minggu lalu.
Susulan itu, mereka terpaksa membuat jualan lelong bagi mengurangkan kos kerugian apabila barang jualan rosak ditenggelami banjir.
Pengerusinya, Zamri Idris berkata, musibah itu menyaksikan 100 peniaga di tingkat bawah bazar itu berdepan kerugian melibatkan barangan jualan seperti selipar, pakaian, beg, dan kosmetik akibat ditenggelami banjir.
“Kami (peniaga) sudah membuat persiapan menghadapi banjir sebagaimana lazimnya berpandukannya pengalaman lalu. Namun banjir kali ini ia lebih besar berbanding banjir 2014” katanya semalam.
Zamri memberitahu, sepanjang banjir lalu, sebanyak 134 lot kedai tingkat bazar ini ditenggelami banjir.
Katanya, peniaga terpaksa membuat jualan lelong kerana tidak mahu menangung kerugian 100 peratus.
Seorang peniaga kosmetik, Siti Aisyah Mohamad , 35, berkata, kali ini dia diuji musibah banjir kerana baru membuka premis ini awal tahun ini.
“Semua kosmetik tenggelam air walau pun sudah disimpan di rak yang tinggi. Saya mengalami kerugian hampir RM30,000.
“Bagi mengelakkan kerugian besar, saya membuat jualan lelong. Produk kosmetik saya tak rosak, sebab ia dalam bekas tertutup. Hanya kotak kosmetik itu basah, koyak jadi saya lelong separuh harga,” ujarnya.