SHAH ALAM: Kerajaan menyediakan bantuan khas berjumlah RM127.4 juta kepada 318,642 pekebun kecil yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesemua penerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) itu melibatkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).
Menurut beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, bantuan khas yang disalurkan kementerian itu dibayar sebanyak dua kali pada November lalu dan bulan ini.
“Setiap pekebun itu akan menerima bayaran RM200 sebulan dan jumlah keseluruhannya bantuan adalah RM400 seorang.
“Bantuan terbaharu berjumlah RM127,456,800 (RM127.4 juta) itu diharap dapat meringankan beban mereka yang turut terkesan banjir ketika ini,” katanya mengumumkan perkara itu selepas merasmikan RissMart24 dan syiling peringatan Jubli Emas Risda, hari ini.
Jelas, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, situasi banjir mula menunjukkan pemulihan apabila jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun.
“Seperti saya maklum terdahulu, jumlah mangsa dan keluarga mencatatkan tren penurunan.
“Keadaan itu bertepatan dengan ramalan MetMalaysia (Jabatan Meteorologi). Insya-Allah kira-kira 20 hingga 25 peratus mangsa akan pulang ke rumah mereka hujung minggu ini,” ujarnya.
Setakat pukul 1 tengah hari tadi, jumlah PPS yang masih beroperasi berkurangan sebanyak 13.69 peratus kepada 561 di seluruh negara.
Jumlah keluarga terjejas pula menurun sebanyak 8.7 peratus kepada 37,759 keluarga. Dua negeri yang paling teruk terjejas iaitu Kelantan dan Terengganu turut merekodkan trend sama.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) meninjau semula laluan-laluan yang terputus akibat bah bagi lokasi pembinaan Jambatan Bailey.
“Setakat ini, sebanyak enam lokasi pembinaan jambatan itu dikenalpasti di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Mungkin ada juga lokasi lain dan saya mengkoordinasikan JKR dan RAJD bagi tinjauan lanjut,” jelasnya. – UTUSAN