TEL AVIV: Ribuan rakyat Israel berhimpun bagi mendesak usaha pembebasan baki tebusan yang masih ditahan di Gaza selepas lebih 14 bulan konflik perang dengan Hamas di wilayah Palestin.
Bapa dua anak lelaki yang masih ditahan di Gaza, Itzik Horn turut menyeru agar perang segera dihentikan.
“Masa untuk bertindak telah tiba. Masa untuk membawa semua orang pulang juga sudah tiba,” katanya merujuk kepada anaknya, Eitan dan Iair.
Sejak beberapa hari lalu, timbul desas-desus mengenai perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan yang mungkin akhirnya tercapai selepas usaha mediasi sebelum ini gagal.
Ketika serangan Hamas pada Oktober 2023, pejuang Palestin menculik 251 tebusan, dengan 96 daripadanya masih berada di Gaza.
Qatar, yang memainkan peranan utama sebagai perantara rundingan, menyatakan minggu lalu terdapat momentum baharu dalam perbincangan tersebut.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken semasa lawatannya ke Jordan pada Sabtu, menegaskan ini adalah masa yang tepat untuk menyimpulkan perjanjian itu.
Sementara itu, Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi mengadakan pertemuan dengan Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan dan wakil khas Asia Barat, Brett McGurk bagi membincangkan usaha mencapai gencatan senjata dan pertukaran tahanan di Gaza.
Peperangan di Gaza bermula selepas serangan Hamas pada tahun lalu, yang mengakibatkan kematian 1,208 orang, kebanyakannya orang awam, menurut angka rasmi Israel.
Sebagai tindak balas, serangan balas Israel telah menyebabkan sekurang-kurangnya 44,930 orang di Gaza terbunuh, yang majoritinya orang awam, berdasarkan angka yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Palestin.-AGENSI