SEREMBAN: Seorang remaja lelaki yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Kuala Lumpur antara penunggang motosikal yang diambil tindakan dalam penguatkuasaan Op Khas Samseng Jalanan di Tol Senawang, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, remaja terbabit bersama rakannya telah dikesan menutup nombor pendaftaran motosikal masing-masing bertujuan untuk berlumba haram di lebuh raya di negeri ini.
“Operasi dilakukan sejak pukul 11 malam tadi sehingga pukul 12.30 tengah malam. Lebih 100 motosikal telah ditahan, ada motosikal yang sudah diubah suai, selain ada yan ditutup nombor pendaftaran kenderaan dipercayai untuk mengelirukan dan mengaburi mata pihak berkuasa.
“Tumpuan di Seremban hingga ke Nilai dan Port Dickson yang mempunyai lebuh raya. Setiap minggu memang ada tangkapan dan juga sitaan terhadap penunggang motosikal yang dipercayai melakukan kesalahan undang-undang dan berlumba,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Op Khas Samseng Jalanan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan di Plaza Tol Senawang di sini.
Menurut Ahmad Dzaffir lagi, rata-rata yang ditahan berusia 16 hingga 18 tahun sama ada secara berkonvoi atau berseorangan sambal menunggang motosikal secara berbahaya.
Kata beliau lagi, hasil operasi yang dijalankan, sebanyak tujuh buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan sebanyak 222 saman serta notis saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.
Dalam pada itu, Ahmad Dzaffir berkata, JSPT Kontinjen Negeri Sembilan telah melaksanakan Op Khas Samseng Jalanan selama 23 hari bermula dari 15 November lalu bertujuan membendung aktiviti samseng jalanan ini dari terus berleluasa khususnya di Kontinjen Negeri Sembilan.
Malah menurutnya, langkah itu juga adalah bagi memastikan pemandu kenderaan dan penunggang motosikal sentiasa mematuhi peraturan lalulintas sedia ada serta undang-undang dan kenderaan yang digunakan adalah mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.
“Sepanjang Op Khas Samseng Jalanan dilaksanakan, hampir 4,000 individu telah diperiksa dan jumlah pemeriksaan kenderaan adalah sebanyak 2,539 buah kenderaan di mana pemeriksaan motosikal sahaja hampir 2,000 buah dengan sebanyak 3,402 saman telah dikeluarkan,” katanya.-UTUSAN.