PETALING JAYA: Operasi perkhidmatan rel Rapid KL akan dilanjutkan sehingga pukul 3 pagi manakala beberapa laluan bas terpilih akan beroperasi sehingga pukul 3.30 pagi bermula 1 Januari depan bersempena ambang tahun baharu 2025.
Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) dalam kenyataan berkata, lanjutan itu bagi memenuhi keperluan warga kota yang ingin menghadiri acara sambutan di sekitar pusat bandar.
Jelasnya, lanjutan operasi itu membabitkan 18 stesen rel, empat stesen Bus Rapid Transit (BRT) dan 20 laluan bas utama serta perantara Rapid KL.
“Bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna, seramai 2,731 petugas barisan hadapan Rapid KL terdiri daripada polis bantuan dan kakitangan operasi akan bertugas pada malam ambang tahun baharu ini.
“Pengguna juga disarankan untuk menggunakan kad Touch ‘n Go bagi kelancaran perjalanan dan memastikan baki kad mencukupi sebelum memulakan perjalanan.
“Rapid KL turut menggalakkan warga kota untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam pada hari sambutan ini bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas terutamanya di kawasan yang berhampiran dengan acara sambutan ambang tahun baharu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Stesen rel dan BRT yang terbabit dengan lanjutan operasi adalah bagi laluan Kelana Jaya membabitkan stesen KLCC, Masjid Jamek, Pasar Seni dan Ampang Park; laluan Ampang/Sri Petaling membabitkan stesen Masjid Jamek, Bandaraya, Hang Tuah dan Maluri.
Laluan Monorel Kuala Lumpur membabitkan stesen Bukit Bintang dan Hang Tuah; laluan Kajang membabitkan Bukit Bintang, Tun Razak Exchange (TRX), Pasar Seni, Mutiara Damansara dan Maluri.
Laluan Putrajaya membabitkan stesen TRX, Persiaran KLCC dan Ampang Park serta laluan BRT Sunway membabitkan stesen Sunway Lagoon, SunMed, SunU-Monash dan South Quay-USJ1.
Prasarana turut memaklumkan jadual kekerapan tren juga akan dipertingkatkan di semua laluan rel bermula jam 7.30 malam pada 31 Disember ini sehingga 3 pagi pada 1 Januari 2025 bagi memberikan kemudahan dan keselesaan kepada warga kota untuk mengunjungi lokasi acara sambutan.
Selain itu katanya, jadual kekerapan tren juga akan dipertingkatkan di semua laluan rel bermula jam 7.30 malam pada 31 Disember sehingga 3 pagi pada 1 Januari 2025 bagi memberikan kemudahan dan keselesaan kepada warga kota untuk mengunjungi lokasi acara sambutan.
Sementara itu, kenyataan itu berkata, waktu perkhidmatan bagi beberapa laluan bas terpilih dan Demand Responsive Transit (DRT) di bawah kendalian Rapid KL yang turut dilanjutkan hingga 3.30 pagi adalah laluan 173 dari Taman Jasa Utama ke Lebuh Ampang dengan jenis laluan utama, 190 Desa Sri Hartamas – Lin Ho Jalan Lekiu, 250 Stesen Wangsa Maju – Lebuh Ampang.
Laluan 772 dari Subang Suria Mah Sing ke Hab Pasar Seni, 400 Damai Perdana – Hab Lebuh Pudu via Bukit Bintang, 450 Hentian Kajang – Hab Lebuh Pudu, 590 Bandar Sungai Long – Hab Lebuh Pudu, 600 Puchong Utama – Hab Pasar Seni.
Laluan 640 dari Hab Bas Sri Manja ke Hab Pasar Seni, 300 Hab Pandan Indah – Lebuh Ampang, 303 Taman Mulia Jaya – Lebuh Ampang, 751 Taman Sri Muda – Hab Pasar Seni.
Bagi laluan T460 dari Stesen Stadium Kajang ke Bandar Teknologi dengan jenis laluan bas perantara, T803 Stesen Kwasa Sentral – Subang Suria, T810 Stesen Mutiara Damansara – Bukit Lanjan, T101 Stesen Sungai Buloh – Bukit Rahman Putra, T102 Stesen Sungai Buloh – Aman Putri, T103 Stesen Damansara Damai – Sutera Damansara, T407 Stesen Tun Razak Exchange – Taman Maluri/Desa Pandan, T504 Stesen Cyberjaya Utara – Cyber 11, T509 Stesen Putrajaya Sentral – Presint 16.
Bagi laluan T582B dari Stesen Sri Petaling ke Bandar Sri Petaling dengan jenis laluan DRT, T203B Stesen Taman Melati – Danau Kota, T221B Stesen Sri Rampai – Giant Ulu Kelang, T757B Stesen Alam Megah – Seksyen 27 Shah Alam
Laluan T774B Stesen Glenmarie – MSU, Stadium Shah Alam, T778B Stesen USJ 22 – One City, T783B Stesen Taman Bahagia – SS 6, T785B Stesen Taman Paramount – Kampung Baiduri, T786B Stesen Asia Jaya – Stesen Phileo Damansara.
“Pengguna yang ingin menggunakan perkhidmatan DRT adalah dinasihatkan untuk membuat tempahan melalui aplikasi Kummute, Mobi atau Trek Rides terlebih dahulu sebelum menggunakan perkhidmatan ini,” katanya.