PORT DICKSON: Penganjuran Pesta PD (Port Dickson) yang pernah sinonim dengan pantai peranginan di sini suatu ketika dahulu akan diberi nafas baharu menerusi acara Fiesta Pantai Port Dickson yang turut melibatkan pelbagai aktiviti sukan pantai.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Mustapha Nagoor berkata, melihat kepada potensinya, kerajaan negeri turut berhasrat menjadikan Fiesta Pantai Port Dickson sebagai salah satu acara baharu dalam Kalendar Pelancongan Negeri Sembilan.
“Fiesta Pantai Port Dickson 2024 mengingatkan saya kepada kegemilangan dan kemeriahan acara Pesta Sukan Air dan Pesta PD yang pernah dilaksanakan sekitar tahun 1990-an.
“Walaupun aura Pesta PD itu tidak dapat dikembalikan, namun usaha-usaha untuk menjenamakan semula program tersebut perlu diteruskan mengikut arus perkembangan dan peredaran semasa.
“Di Negeri Sembilan, orang ramai boleh menyaksikan acara–acara sukan pantai hanya di Port Dickson,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian Fiesta Pantai Port Dickson 2024 di Pantai Batu 5 di sini hari ini.
Majlis dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital negeri, Datuk Mohd. Faizal Ramli yang mewakili Menteri Besar Negeri Sembilan.
Mustapha dalam pada itu memberitahu, menerusi penganjuran acara selama dua hari yang berakhir esok itu, pelbagai aktiviti diadakan seperti bola sepak dan bola jaring pantai dan juga kayak.
“Tidak mustahil pada masa akan datang, kita dapat angkat fiesta ini ke peringkat yang lebih tinggi dengan penyertaan dari luar negara membabitkan acara seperti Ironman Port Dickson atau bola sepak pantai.
“Program-program sebegini memang memberi impak yang besar dalam pembangunan pelancongan dan sosioekonomi di daerah Port Dickson,” katanya.-UTUSAN.