SEREMBAN: Pendakwah selebriti, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Azman dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Seremban di sini hari ini.
Hukuman itu selepas dia didapati bersalah atas empat pertuduhan pindaan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki, dua tahun lalu.
Terdahulu, Azman Syah, 43, membuat pengakuan bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa dan kelihatan tenang ketika berada di kamar mahkamah.
Hakim, Datin Surita Budin membuat keputusan itu terhadap tertuduh selepas mengambil kira fakta kes dan juga faktor pemberatan selain rayuan dikemukan kedua-dua belah pihak dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi faktor peribadi.
Mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap Azman Syah masing-masing penjara tujuh tahun dan satu sebatan bagi tiga pertuduhan dan lima tahun penjara dan satu sebatan bagi satu lagi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal.
Bagaimanapun, hukuman pemenjaraan itu berjalan secara serentak bermula dari tarikh tertuduh dijamin pada 9 Oktober lalu.
Mahkamah juga menetapkan Azman Syah menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan dan pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman.
Mengikut empat pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal dengan melakukan perbuatan kelucahan melampau termasuk merangsang mangsa lelaki berusia 16 dan 17 tahun.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai pada 5 Februari dan 6 Julai 2022 antara pukul 8.30 malam hingga 5 pagi.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Peguam, Mohamad Zahid Ahmad dan Fahmi Adilah yang mewakili Azman Syah dalam rayuannya memberitahu, anak guamnya adalah seorang duda dan sebelum kes tersebut merupakan pendakwah selebriti dengan pendapatannya diperoleh dengan berkongsi ilmu agama.
Mohamad Zahid turut memohon hukuman pemenjaraan paling minimum bermula tarikh dijamin pada 9 Oktober 2024 diberikan kepada Azman Syah yang telah insaf dan memohon maaf atas kesalahan dilakukan.
Sementara itu, pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi berkata, dalam kes itu tertuduh merupakan pendakwah selebriti yang mana perbuatan tersebut tidak harus dilakukan oleh tokoh pendakwah seperti beliau terhadap kanak-kanak.