SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menerusi Program Tunas Niaga (PROTUNe) melahirkan lebih 20,000 pelajar sekolah yang menceburi bidang keusahawanan.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd. Najwan Halimi berkata, kerajaan negeri menitikberatkan pemerkasaan sektor keusahawanan termasuk melahirkan lebih ramai usahawan muda tempatan.
“Saya percaya banyak usaha dijalankan PKNS bagi menambahbaik program itu dalan memperkasakan bidang keusahawanan di peringkat sekolah.
“Antara impak positif PROTUNe ini adalah mendidik pelajar memimpin sebuah syarikat dan melatih mereka membina jati diri dengan nilai tanggungjawab, disiplin dan kemahiran,” katanya katanya selepas merasmikan Majlis Konvokesyen PROTUNe, hari ini.
Inisiatif itu turut mendapat sokongan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor bagi mengurus dan melaksanakannya di negeri ini sejak 1998.
Tambah beliau, usahawan muda berperanan penting memacu pembangunan ekonomi negara termasuk memperkasa ekonomi luar bandar dan membuka peluang pekerjaan baharu untuk masyarakat.
Mohd. Najwan memberitahu, pelaksanaan program itu meningkatkan minat anak muda terutama dalam kalangan pelajar di peringkat sekolah dan belia dalam industri perniagaan selain membudayakan keusahawanan bertujuan membentuk sikap positif terhadap bidang itu.
“PROTUNe bertepatan dengan objektifnya iaitu memberi peluang kepada generasi muda terutama pelajar sekolah menengah mengasah minat dan kemahiran.
“Ini selaras matlamat menjadikan keusahawanan sebagai salah satu cabang kerjaya menarik dan relevan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mohd. Najwan memaklumkan, konvokesyen berkenaan mampu memberi inspirasi kepada peserta.
“Mereka boleh menjadikan pengalaman berniaga di sekolah sebagai pemangkin untuk melangkah ke dunia keusahawanan kelak.
“Galakan seumpama itu relevan pada waktunya kerana pencapaian cemerlang perlu diiktiraf bagi memastikan lebih ramai anak tempatan berjaya dalam bidang perniagaan nanti,” ujarnya. – UTUSAN