Proses selamatkan rakyat Malaysia terperangkap di Myanmar makin sukar

Proses selamatkan rakyat Malaysia terperangkap di Myanmar makin sukar

MOHAMAD Hasan bergambar bersama sebahagian peserta yang mengambil bahagian pada Pertandingan eSports Piala Tok Mat di Senawang, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Proses untuk menyelamatkan rakyat Malaysia yang terpedaya dengan sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara sehingga terperangkap di negara-negara tertentu kini semakin sukar khususnya melibatkan negara Myanmar.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, keberadaan kumpulan-kumpulan dan puak bersenjata yang telah menguasai wilayah dan kawasan tertentu di Myanmar telah menyukarkan proses rundingan bagi menyelamatkan rakyat Malaysia yang tertipu dengan sindiket di negara berkenaan.

“Situasi di Myanmar agak sukar, sebelum ini boleh kita berunding tetapi sekarang ini jadi sukar kerana banyak sangat kumpulan yang menguasai kawasan atau wilayah tertentu yang mereka ini mempunyai kekuatan persenjataan yang banyak juga.

“Kerajaan telah melantik seorang utusan khas Malaysia ke Myanmar yang memang mahir dalam perundingan untuk berjumpa dengan beberapa kumpulan dan puak tertentu ini, bukan sahaja bagaimana untuk rakyat Malaysia yang terperangkap tetapi untuk memastikan bagaimana puak-puak ini dapat meredakan keganasan, kerajaan Myanmar juga berhadapan masalah untuk berhadapan dengan mereka.

“Usaha Malaysia adalah untuk melihat cara mana, kita berjumpa dahulu dengan setiap puak-puak ini untuk kita mengetahui apakah permintaan mereka dan apa dalam fikiran mereka untuk kita kumpul dan kaji cara mana kita mengambil permintaan mereka ini untuk diselaraskan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan eSports Piala Tok Mat di Senawang di sini hari ini.

Mohamad sementara itu mengingatkan ibu bapa dan ahli keluarga rakyat Malaysia yang terpedaya dengan sindiket itu supaya tidak beranggapan bahawa kerajaan dapat membantu untuk menyelamatkan kesemua yang masing terperangkap tersebut.

“Saya tidak janji boleh selamatkan semua, ada yang sudah mati, macam-macam, di Filipina, bukan hanya di Myanmar sahaja, di sempadan Segitiga Emas, Thailand, Laos dan Myanmar yang kini menjadi pengeluar dadah terbesar dan wang itulah yang membiayai kumpulan-kumpulan tersebut, ini jadi amat sukar.

“Jangan ingat kerajaan ada dan akan selamatkan mereka, ibu bapa saya harap supaya jangan ingat Kementerian Luar, Kementerian Dalam Negeri boleh lakukan sesuatu yang diluar kemampuan kami. Bagaimana boleh kami buat, kami akan buat, mana yang tidak dapat memang susah nak dapat,” jelasnya.

Beliau juga memaklumkan, tidak mempunyai jumlah sebenar rakyat Malaysia yang masih terperangkap di negara-negara terbabit.

‘Sama ada ratusan, ribuan kita tidak tahu, cuma tahu apabila da laporan dan kita buat risikan. Saya berterima kasih kepada negara jiran dan anggota ASEAN kerana hubungan kita yang baik dan mereka membantu seboleh mungkin tetapi bantuan mereka juga ada had dan sekatan yang tidak dapat mereka lakukan,” katanya.

Beliau justeru, menasihatkan supaya rakyat tidak terpedaya dengan tawaran kerja dengan gaji ‘tidak masuk akal’ di luar negara khususnya negara yang keadaan ekonominya yang lebih rendah berbanding Malaysia.

Sementara itu, Mohamad memaklumkan, permasalahan yang berlaku di Myanmar merupakan penumpuan dalam sesi ASEAN Troika Informal Consultation and Extended Informal Consultation yang disertai beliau di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

“Masalah di Myanmar ini amat tidak baik bagi ASEAN, sebagai sebuah rantau aman, bebas, dan berkecuali, isu dalaman di Myanmar sedikit sebanya menjejaskan ASEAN. Bukanlah kita mahu campur tangan dalam hal dalaman mereka tetapi masalah di negara itu telah melepasi sempadan.

“Jenayah rentas sempadan, perjudian, dadah, scammer, macam-macam oleh itu ASEAN berunding dan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan akan susun strategi awal bagaimana cara dan apa yang boleh dilakukan bagi mengurangkan permasalahan dalaman tersebut kerana kita tidak mahu ia mengganggu kestabilan dalam Asia Tenggara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya