Promosi amalan kartel: MyCC kecam persatuan sengaja umum kenaikan harga - Utusan Malaysia

Promosi amalan kartel: MyCC kecam persatuan sengaja umum kenaikan harga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) memberi amaran keras terhadap tindakan mana-mana persatuan, termasuk perniagaan yang membuat pengumuman kenaikan harga secara terbuka, menyifatkannya sebagai usaha mengaburi mata rakyat dan mempromosikan amalan kartel.

Pengerusi MyCC, Tan Sri Idrus Harun berkata, pengumuman sedemikian bukan sahaja boleh mempengaruhi harga pasaran, malah berpotensi menjejaskan ekonomi serta menambah beban kos sara hidup rakyat.

Menurut beliau, maklumat yang diperoleh mendapati terdapat persatuan yang cuba menyamarkan keputusan mereka sebagai jangkaan kenaikan harga masa depan atau panduan harga, walhal ia sebenarnya adalah keputusan terancang yang berunsurkan kartel.

“MyCC tidak terkejut jika ada persatuan yang membuat keputusan secara rahsia dengan harapan tindakan mereka tidak dapat dikesan kerana menyedari ia melanggar perundangan persaingan.

“Pengumuman sebegitu boleh dikategorikan sebagai perjanjian anti persaingan kerana ia mencerminkan keputusan ahli jawatankuasa persatuan yang juga pesaing dalam industri,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Idrus berkata, pengumuman harga yang dilakukan secara terbuka berfungsi sebagai isyarat kepada ahli persatuan lain untuk menyelaraskan tindakan kartel secara bersepadu.

Kata beliau, tindakan ini memberi gambaran bahawa persatuan cuba menyusun strategi secara kolektif untuk mengawal harga di pasaran, sekali gus merugikan pengguna yang bergantung kepada harga berpatutan bagi keperluan harian,” ujarnya.

“Taktik sedemikian bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah mencetuskan kebimbangan kerana ia melibatkan sektor penting seperti pengangkutan, kesihatan dan makanan yang merupakan keperluan asas rakyat.

“MyCC akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana perusahaan tanpa mengira saiz yang terlibat dalam perilaku kartel atau menggalakkan amalan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Idrus turut mengumumkan pindaan Akta Persaingan 2010 akan dibentangkan di Parlimen awal tahun depan bagi memperkasakan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan MyCC terhadap amalan kartel.

“Pindaan ini akan membolehkan tindakan yang lebih berkesan dikenakan terhadap kes sabotaj ekonomi seperti kartel melalui penalti yang lebih berat,” katanya.

Selain itu, Idrus menyeru ahli persatuan yang tidak bersetuju dengan tindakan kartel untuk melaporkan perkara tersebut kepada MyCC.

“Kami menyediakan saluran aduan melalui laman web rasmi MyCC untuk memastikan siasatan dapat dijalankan dan kegiatan sebegini dapat dihentikan,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan jawatan atau keahlian persatuan bukanlah lesen untuk menghalalkan perlakuan kartel yang menekan pengguna dan menjejaskan persaingan sihat dalam pasaran.

“MyCC komited memastikan pasaran tempatan kekal adil dan telus bagi melindungi kepentingan pengguna,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya