GUA MUSANG: Projek Empangan Nenggiri di sini dijangka dapat mengurangkan 40 peratus masalah banjir di negeri Kelantan kerana ia mampu menyekat pengaliran air dalam jumlah banyak ke dalam sungai.
Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Gua Musang, Nik Raisnan Daud berkata, empangan bernilai RM5 bilion itu berupaya menakung jumlah air hujan dan menyekat air turun ke dalam sungai.
“Apabila projek ini siap kita jangka dapat mengawal keadaan banjir di kawasan hiliran kira-kira 40 peratus daripada keadaan sekarang.
“Di Gua Musang punca tadahan air ialah dari Sungai Lebir dan Sungai Nenggiri. Jadi sekiranya kita dapat mengawal air di Sungai Nenggiri, kita dapat mengurangkan 40 peratus jumlah banjir yang akan melanda kawasan hilir terutamanya di jajahan Kota Bharu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kemajuan Projek Hidroelektrik Nenggiri di Kampung Star di sini hari ini.
Nik Raisnan memberitahu, proses pembinaan Projek Hidroelektrik Nenggiri berjalan lancar walaupun berdepan musim tengkujuh ketika ini.
Katanya, dia berharap projek pembinaan dapat berjalan seperti biasa dan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan pada November 2027.-UTUSAN