Program ziarah kasih manfaat 200 keluarga di 15 tanah rancangan Felda Wilayah Jengka - Utusan Malaysia

Program ziarah kasih manfaat 200 keluarga di 15 tanah rancangan Felda Wilayah Jengka

RAZAK Daud (tiga dari kiri) menyantuni sebuah keluarga dalam program Ziarah Kasih di Felda Jengka 24 di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kira-kira 200 keluarga membabitkan 15 kawasan tanah rancangan Felda dalam Wilayah Jengka di sini menerima manfaat menerusi Program Ziarah Kasih yang dilaksanakan sejak Mac lalu hingga kini.

Usaha itu memberi tumpuan kepada pesakit terlantar, warga emas yang uzur, ahli keluarga terlibat kemalangan, bencana alam terutama ribut dan banjir serta pendidikan anak-anak asnaf.

Pengerusi Badan Sosial dan Komuniti Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, setakat ini, hampir 100 penerima sudah diziarahi membabitkan lapan kawasan tanah rancangan Felda dalam kawasan Wilayah Jengka.

Jelasnya, ia membabitkan Felda Jengka 13, Felda Jengka 12, Felda Jengka 9, Felda Jengka 10, Felda Kota Gelanggi 2, Felda Kota Gelanggi 4, Felda Lepar Utara 3 dan Felda Sungai Tekam Utara.

“Menerusi program ziarah kasih ini, kita menyampaikan sumbangan berupa beras, gula, tepung, biskut dan minyak masak. Penerima turut menerima wang tunai RM100.

“Ia merupakan sumbangan Biro Sosial dan Komuniti Felda Wilayah Jengka dan Unit Hal Ehwal  Felda Pulau Tawar,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Razak berkata, program Ziarah Kasih itu akan diteruskan di tujuh lagi tanah rancangan iaitu di Felda Sungai Tekam, Felda Jengka 8, Felda Jengka 24, Felda Kota Gelanggi 1, Felda Kota Gelanggi 3, Felda Padang Piol dan Felda Sungai Retang bermula Januari depan.

“Program itu dilaksanakan secara berkala dan platform penting untuk beramah mesra bagi mengeratkan hubungan baik antara satu sama lain selain mendapatkan maklumat terkini keadaan mereka yang memerlukan bantuan.

“Menerusi program Ziarah Kasih, tumpuan bukan sahaja untuk menyantuni keluarga yang memerlukan perhatian dan sokongan serta bantuan, tetapi juga permasalahan setempat yang memerlukan penyelesaian segera atau jangka panjang bersama agensi berkaitan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN