Program berbasikal akan dimasukkan sebagai aktiviti pelancongan sukan - Utusan Malaysia

Program berbasikal akan dimasukkan sebagai aktiviti pelancongan sukan

ABU Bakar Hamzah (tiga dari kanan) membuat gimik pelepasan sewaktu Program Kayuhan Anak Muda Utara MAYC di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, Perlis, malam tadi. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Program berbasikal yang dilaksanakan di negeri ini akan dimasukkan sebagai aktiviti pelancongan sukan dalam menyemarakkan lagi penganjuran Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, langkah tersebut adalah berikutan program-program berbasikal bukan sahaja dapat menggalakkan budaya hidup sihat, namun turut menarik minat khususnya golongan muda dari dalam mahu pun luar Perlis.

Beliau berkata, berikutan itu, penganjuran program-program berbasikal perlu diperbanyakkan dalam memastikan bidang pelancongan sukan ini dapat disemarakkan menerusi penglibatan pelbagai pihak.

“Kita perlu terapkan budaya amalan hidup sihat ini dengan mempelbagaikan penganjuran aktiviti sebegini khususnya dalam menyemarakkan bidang pelancongan sukan sempena TMPs ini.

“Di samping itu, aktiviti berbasikal ini juga merupakan kegemaran Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dan baginda sebelum ini turut menyarankan supaya semua lapisan masyarakat agar dapat mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya selepas Program Kayuhan Anak Muda Utara Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, di sini, malam tadi.

Hadir sama dalam program kayuhan tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Mohd Ridzuan Hashim dan Pengerusi MAYC Perlis, Akmal Azman.

Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, Akmal berkata, seramai 150 orang peserta telah terlibat dalam kayuhan itu terdiri daripada golongan belia bersama peminat sukan berkenaan.

Katanya, program tersebut merupakan anjuran MAYC Perlis dengan kerjasama IPD Arau, MEP Ventures Sdn Bhd (MEP21), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya & Budaya (MOTAC) dan Tourism Malaysia.

“Meskipun MAYC Perlis serba kekurangan daripada sudut dana namun semangat ditunjukkan oleh jawatankuasa membolehkan kami menganjurkan program berskala besar sebegini,” katanya.

Tambahnya, MAYC Perlis turut merintis sebuah program dikenali sebagai Tenang Campfire@Sungai Bukit Jernih yang akan diperluaskan pada tahun 2025 ini.

“Program ini bertujuan menarik pelancong belia dari luar supaya dapat mempromosikan keindahan alam semula jadi di Perlis yang semakin popular di media sosial. Selain itu, MAYC Perlis juga mempunyai matlamat bagi menganjurkan program yang boleh disenaraikan dalam kalendar pelancongan Perlis sempena TMPs atau mana-mana program tahunan kementerian,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya