KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang memperkenalkan sistem pilihan bayaran secara bersama atau co-payment bagi mengelak rakyat terus terbeban dengan peningkatan kadar premium insurans.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Dewan Rakyat, Suhaizan Kaiat berkata, kerajaan perlu meneliti dasar-dasar sedia ada dengan memperkenalkan pendekatan seperti pilihan kaedah pembayaran tersebut.
Kata beliau, model tersebut membolehkan kos rawatan dapat dikongsi antara penanggung insurans dan pengendali takaful dengan pemegang polisi serta peserta takaful.
“Pendekatan ini diharap dapat mengurangkan tekanan terhadap kewangan dan memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan.
“Ini juga memberikan pilihan kepada pemegang polisi dan peserta takaful untuk menentukan tahap perkhidmatan yang sesuai dengan kemampuan mereka,” katanya semasa sidang akhbar di Pusat Media, Bangunan Parlimen, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, sebarang kenaikan kadar premium insurans akan ditentukan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) supaya tidak membebankan rakyat dan mengelak inflasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan sedar akan keperluan menaikkan premium itu oleh industri tetapi ia perlu dikawal untuk memastikan ia tidak membebankan rakyat.
Perkara ini susulan dari laporan Utusan Malaysia pada 26 November lalu yang melaporkan bahawa polisi insurans perubatan dijangka naik antara 40 hingga 70 peratus tahun depan dengan alasan kos perubatan di hospital swasta semakin mahal.
Sementara itu, Suhaizan berkata, kerajaan perlu merangka mekanisme yang lebih menyeluruh untuk mengawal perkhidmatan kesihatan dan memastikan struktur harga lebih telus dan adil, sekali gus mengelakkan beban kewangan tidak wajar kepada pesakit.
Jelasnya, langkah kawal selia itu juga akan merangkumi pemantauan berterusan terhadap kos ubat-ubatan, rawatan dan prosedur perubatan.
“Selain itu, KKM perlu mempercepatkan pelaksanaan Diagnosis Related Groups (DRG) bagi mengklasifikasikan rawatan pesakit berdasarkan diagnosis dan prosedur yang diberikan, seterusnya membolehkan pengurusan kewangan dan pembayaran yang lebih efisien.
“DRG akan menjadi pemangkin kepada kecekapan sistem kesihatan negara serta meningkatkan ketelusan dalam pengurusan dana kesihatan,” katanya.
Selain itu, Ahli Parlimen Pulai tersebut berkata, KKM perlu memperhebatkan usaha menjalin hubungan strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan melalui inisiatif ‘Rakan KKM’ untuk menggalakkan penglibatan aktif sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti dan individu dalam menyokong transformasi kesihatan negara.
“Pendekatan ini juga membuka ruang untuk inovasi dan sokongan yang lebih meluas dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat,” jelasnya.
Pemimpin dari Pakatan Harapan (PH) itu turut menggesa KKM untuk mempercepatkan usaha untuk menubuhkan Dana Kesihatan Negara bagi memastikan pembiayaan kesihatan negara terjaga.
Jelasnya, dana tersebut bagi menyediakan sumber kewangan yang mampan bagi memenuhi keperluan perubatan rakyat serta menampung peningkatan kos rawatan dan mengurangkan beban kewangan isi rumah terutama golongan rentan.
“Kerajaan perlu merancang pelaksanaan kenaikan harga secara berperingkat terhadap perkhidmatan kesihatan bagi memenuhi keperluan kesihatan yang semakin kompleks.
“Langkah ini termasuklah penambahan kapasiti hospital, peningkatan tenaga kerja kesihatan dan penyediaan infrastruktur serta teknologi perubatan yang lebih moden,” katanya.