PORT DICKSON: Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) akan memberi nilai tambah dalam pembangunan projek-projek perumahan mampu milik mereka selepas ini termasuk menerusi pengenalan rumah pintar serta menerusi pembangunan konsep rumah mesra alam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, langkah tersebut adalah selari untuk menjadikan PR1MA yang merupakan agensi perumahan mampu milik utama di bawah kementerian itu sebagai sebuah jenama yang sinonim sebagai pemaju perumahan mampu milik berkualiti di rantau ini.
“Tahun depan PR1MA akan memperkenalkan lebih banyak projek yang mengujakan dengan beberapa nilai tambah seperti rumah pintar, pembangunan rumah mesra alam dengan tenaga boleh diperbaharui serta pembangunan bandar PR1MA.
“Ini supaya jenama PR1MA ini sinonim sebagai pemaju perumahan mampu milik bukan hanya di dalam dalam negara tetapi juga di rantau ini, ini visi saya khususnya pada tahun depan negara akan mengadakan Sidang Kemuncak Hartanah ASEAN yang merupakan pertama kali dianjurkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Kunci Residensi Port Dickson, Negeri Sembilan Bersempana Program Sentuhan Kejayaan KPKT 2024 di sini hari ini.
Projek Residensi Port Dickson merangkumi 659 unit rumah teres, telah siap sepenuhnya dan memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada Mei 2024 selepas berjaya dipulihkan menerusi lantikan kontraktor penyelamat selepas ia pada awalnya dikategorikan sebagai projek sakit.
Sementara itu, kata Kor Ming, pada tahun ini PR1MA telah berjaya menyiapkan enam projek meliputi Residensi Port Dickson, Residensi Larkin Indah di Johor, Residensi Brickfields di Kuala Lumpur, Residensi Melaka Tengah 2 di Melaka, Residensi Nexus Kajang di Selangor, dan Residensi Bukit Gelugor di Pulau Pinang.
Katanya, sebuah lagi projek PR1MA di Negeri Sembilan yang turut dikategorikan sebagai projek sakit iaitu Residensi Bandar Ekar di Rantau dijangka siap pada bulan hadapan.
“Dalam dua tahun, sebanyak 24 projek sakit yang saya warisi, 23 daripadanya telah siap di Negeri Sembilan tinggal di Rantau sahaja, yang saya yakin akhir bulan depan iaitu sebelum Tahun Baharu Cina ia akan siap sepenuhnya,” katanya.