RANTAU PANJANG: Pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) To’Deh di sini ditutup sepenuhnya sebentar tadi sekali gus menyaksikan banjir gelombang pertama yang melanda negeri ini pulih sepenuhnya.
Jurucakap InfoBencanaBanjirJKM berkata, PPS yang menempatkan 43 mangsa itu ditutup pada pukul 8 malam tadi.
Katanya, kesemua mangsa dibenarkan pulang selepas air di kawasan rumah mereka mulai surut.
Kesemua mangsa ini merupakan penduduk dari Kampung Bangol Perol, di sini.
Terdahulu, Kelantan mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi pada 1 Disember lalu apabila seramai 95,784 orang ditempatkan di 283 PPS melibatkan 10 buah daerah.
Daerah Pasir Mas ketika itu merupakan kawasan paling teruk terjejas apabila seramai 29,370 mangsa sedang berlindung di 66 buah PPS diikuti Tumpat dengan 16,717 mangsa.-UTUSAN