PPNP peruntuk RM20,000 bantu petani terjejas banjir - Utusan Malaysia

PPNP peruntuk RM20,000 bantu petani terjejas banjir

ZUHAIRI Ab. Kadir (kiri) menyampaikan sumbangan kepada petani terjejas banjir dari Maran di bilik gerakan operasi PPNP di Gambang, Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP) memperuntukkan sejumlah RM20,000 bagi membantu golongan petani yang terjejas akibat musibah banjir di negeri ini.

Pengerusi PPNP, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, pihaknya sudah pun membuka bilik gerakan 24 jam di pejabat operasinya di Gambang sebagai tempat pengumpulan barangan sumbangan.

“Inisiatif ini bagi membantu para petani yang terjejas banjir supaya dapat bangkit semula demi memperoleh pendapatan dan menyumbang kepada pertumbuhan sektor agro makanan negara.

“Skop keterjaminan makanan merupakan tanggungjawab dan peranan bersama semua pihak. Jadi, apabila ada petani yang terjejas akibat banjir, mereka perlu dibantu,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, menerusi peruntukan tersebut, PPNP menyediakan barangan keperluan harian seperti beras, tepung, minyak masak dan susu.

Jelasnya, untuk menguruskan proses penghantaran sumbangan, pihaknya turut menyediakan tiga kenderaan pacuan empat roda (4×4) dan sebuah bot penyelamat.

“Pasukan radio amatur Persatuan Kebajikan Radio Amatur Ukhwah (KRAM) juga menyediakan khidmat stesen radio di bilik gerakan operasi PPNP untuk perhubungan di kawasan-kawasan yang terjejas musibah banjir,” katanya.

Beliau berkata, pertubuhan itu turut mengalu-alukan pihak lain untuk turut serta menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban petani terjejas banjir.

“Kita berterima kasih kepada pihak yang sudah pun menyampaikan sumbangan iaitu IQI Cares, TS Greenery Sdn. Bhd. dan DAZ Group Resources.

“Mereka yang ingin menyalurkan sumbangan dan juga bantuan boleh menghubungi nombor telefon bilik gerakan operasi PPNP di talian 095498146. Pihak berkenaan juga boleh datang ke pejabat operasi PPNP di nombor lapan, Lorong GD 24, Gambang Damai, Kuantan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN