Polis tumpaskan 'Geng Heri', buru 'Peja' - Utusan Malaysia

Polis tumpaskan ‘Geng Heri’, buru ‘Peja’

YAHAYA Othman (tiga dari kanan) menunjukkan barang kes yang dirampas polis daripada 'Geng Heri' di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di Bentong, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Polis menumpaskan kumpulan bersenjata dikenali’ Geng Heri’ yang aktif melakukan jenayah di sekitar Lembah Klang dan daerah ini dengan tertangkapnya lima suspek, 8 hingga 15 Disember lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kesemua suspek berusia antara 27 hingga 34 tahun itu ditahan dalam siri serbuan di Gombak, Selangor dan juga Setapak, Kuala Lumpur.

Menurutnya, polis kini sedang mengesan seorang lagi suspek, Mohamad Faizal Supardi, 32, atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Peja’ yang dipercayai turut terlibat dalam jenayah tersebut.

“Kumpulan samun ini mula diburu selepas pihak polis menerima laporan dari seorang lelaki warga Bangladesh yang mendakwa disamun pada 29 Oktober lalu pukul 1.45 pagi di kedai runcit miliknya di Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong. Geng samun ini yang bersenjatakan parang dan besi turut menyamar sebagai polis serta bertindak menggari tangan mangsa.

“Suspek turut mengambil sebuah telefon bimbit serta wang tunai RM8,000. Mangsa mengalami kerugian RM9,500,” katanya dalam Sidang Media Kejayaan Tangkapan Kumpulan Samun ‘Geng Heri’ di IPD Bentong di sini hari ini.

Yahaya berkata, modus operandi digunakan ‘Geng Heri’ dengan menyamar sebagai anggota polis dan menyasarkan warga asing sebagai mangsa jenayah kumpulan tersebut.

“Ujian air kencing terhadap lima suspek itu mendapati empat daripadanya positif dadah jenis Amphetamine. Semua suspek memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan kes jenayah lain… mereka kini direman sehingga hari ini dan Jumaat ini,” jelasnya.

Yahaya memaklumkan, siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN