Polis tidak gentar ancaman di sempadan Sungai Golok

Polis tidak gentar ancaman di sempadan Sungai Golok

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak gentar dengan mana-mana ancaman susulan larangan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok antara Malaysia-Thailand.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ancaman tersebut tidak menggugat usaha PDRM  dalam menegakkan undang-undang.

“Polis tidak boleh gentar terhadap sebarang ancaman, kerana jika kita tunduk kepada tekanan tersebut, ia akan membuka ruang kepada pelanggaran undang-undang.

“Apa yang kita lakukan adalah berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa di Malaysia, menjadi tugas polis untuk pastikan rakyat mematuhinya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, pihak polis sedang menganalisis maklumat risikan yang diperoleh berkaitan ancaman diterima. 

Beliau berkata, anggota dan pegawai yang bertugas di sempadan terbabit telah diingatkan untuk sentiasa bersiap siaga dan berwaspada terhadap sebarang kemungkinan.

“Kita perlu bersedia walaupun maklumat itu mungkin betul atau tidak namun ancaman sebegini tidak perlu digentarkan. Ada kemungkinan ia boleh menjadi kenyataan, dan ini memerlukan kesiapsiagaan kita,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Razarudin, pihaknya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan keselamatan terus kekal terjamin.

“Kita akan terus melaksanakan undang-undang yang berkuat kuasa untuk memastikan sempadan negara kekal selamat.

“Langkah ini sebahagian daripada usaha memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terjamin,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Polis Kelantan menerima ancaman pihak tertentu yang tidak berpuas hati terhadap keputusan menguatkuasakan larangan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok antara Malaysia-Thailand.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat dilapor berkata, pihaknya tetap akan meneruskan penguatkuasaan larangan terbabit. 

Bermula 1 Disember lalu,  polis akan menahan individu yang menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok untuk merentasi sempadan Malaysia-Thailand.

Tindakan akan diambil mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 bagi yang disabit kesalahan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya