Polis Kelantan aktifkan DRT hadapi gelombang kedua banjir

Polis Kelantan aktifkan DRT hadapi gelombang kedua banjir

MOHD. Yusoff Mamat (dua dari kanan) diberi penerangan berkait perkembangan situasi banjir oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Tumpat, Wan Ahmad Suwaidi Zainal Abidin di PPS SK Padang Pohon Tanjung, Tumpat, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Polis Kelantan sudah mengaktifkan Pasukan Tindakan Bencana (DRT) sebagai persediaan menghadapi gelombang kedua banjir di negeri ini.

Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pada masa sama kesemua aset untuk tugasan menyelamat banjir termasuk dua buah helikopter miliknya serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah ditempatkan di Mes Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

“Kita sudah bersedia dan sentiasa merujuk maklumat yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“Banjir tahun ini berbeza dengan 2014 lalu apabila ia berlaku ekoran limpah air Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini dan bukan Sungai Kelantan dari arah Gua Musang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengiringi Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid yang mencemar duli menyantuni mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementera (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pohon Tanjung, di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, penduduk negeri ini diingatkan supaya sentiasa wasapada dan bersedia untuk berdepan banjir gelombang kedua nanti.

Katanya, hal ini kerana MetMalaysia sudah menjangkakan akan ada banjir gelombang kedua yang akan berlaku pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.

“Mengikut laporan, MetMalaysia meramalkan angin kuat akan melanda bermula petang ini, manakala hujan lebat akan bermula pada 8 Disember ini.

“Penduduk di kawasan rendah dan sering terkesan dengan banjir supaya sentiasa mengikuti arahan pasukan penyelamat dan segera bertindak ke PPS tanpa perlu menunggu saat-saat akhir.

“Banyak masalah berlaku apabila terdapat sesetengah penduduk yang berdegil dan sayang mahu meninggalkan rumah masing-masing sehingga berlaku kejadian tidak diingini termasuk melibatkan kehilangan nyawa dalam rumah sendiri,” ujarnya.

Mohd. Yusoff berkata, polis sentiasa membuat pemantauan di kawasan terlibat banjir termasuk rondaan cegah jenayah bagi memastikan penempatan mereka selamat.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya