KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menggesa siasatan dan tindakan diambil terhadap sebuah hospital swasta yang didakwa menahan mayat seorang bayi lelaki selama 16 hari di dalam peti mayat.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, perkara tersebut amat menyayat hati dan tidak sepatutnya mayat bayi itu dibiarkan sehingga dua minggu.
Sehubungan itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) perlu melakukan siasatan dan mengenakan tindakan terhadap hospital swasta berkenaan.
“Kenapa pihak hospital dan pengurusannya boleh mengizinkan perkara ini berlaku ke atas jenazah umat Islam? Kami menuntut kerajaan dan KKM untuk menyiasat sehingga ke ‘lubang cacing’ untuk mengetahui perkara sebenar.
“Perlu kenakan tindakan tatatertib dan undang-undang kepada pihak pengurusan hospital, pada mana-mana yang bertanggungjawab menguruskan kes ini (sama ada) ecuaian atau ketidak perikemanusiaan terhadap keluarga allahyarham ini,” katanya semasa sidang akhbar di Pusat Media di Bangunan Parlimen, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Satu mayat bayi lelaki didakwa ‘ditahan’ dalam peti mayat di sebuah hospital swasta dipercayai selepas bapanya tidak mempunyai wang untuk menuntut jenazah tersebut.
Kisah pilu itu dimuat naik pada Facebook pengurusan jenazah Islam Mr Wan Chai Official yang mengambil tanggungjawab untuk menguruskan jenazah bayi berkenaan.
“Kami menghadapi masalah sewaktu hendak menguruskan jenazah wildan syurga adik Muhammad Adham Mikail. Hancur luluh bila melihat jenazah anak tanpa dosa ini 100 peratus beku.
“Bayangkan bayi yang sudah meninggal dunia pada 24 November ditahan selama dua minggu dan diletakkan dalam peti sejuk. Perkara ini berlaku asbab si ayah tidak mampu membayar bil bagi caj kelahiran anaknya di sebuah hospital swasta,” katanya pada hantaran tersebut.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, tindakan hospital swasta menahan mayat bayi dan ibunya merupakan satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan.
“Sepatutnya atas prinsip kemanusiaan pengurusan hospital ini dan mungkin tanggungjawab sosialnya, mereka seharusnya mempunyai perasaan supaya anak kecil atau bayi yang meninggal ini diuruskan secepat mungkin.
“Kalau tidak pun, pengurusan hospital boleh melorong kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang boleh membantu kalau benar-benar keluarga bayi itu memang tidak berkemampuan menyelesaikan kos ditanggung,” jelasnya.