KOTA BHARU: Kerajaan yakin Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok mampu menangani limpahan air banjir dari Narathiwat, Thailand yang turut memberi kesan kepada Rantau Panjang dan Pasir Mas dekat sini apabila ia siap sepenuhnya nanti.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, penyiapan projek itu sangat penting dalam mencari penyelesaian kepada masalah berkenaan disusuli dengan perkara lain yang memerlukan perbincangan antara kedua-dua negara.
“Sebagaimana yang kita sedia maklum, air dari negara jiran itu melimpah dari atas benteng di tebing Sungai Golok (sebelah Thailand) sehingga memburukkan lagi situasi bah di kawasan sempadan negara.
“Saya ingat itu merupakan suatu perkara yang penting (penyiapan PLSB Sungai Golok). Perkara lain kita perlu berbincang terlebih dahulu dengan negara Thailand.
“Selepas itu, kita akan lihat langkah-langkah bersama yang boleh diambil, katanya pada sidang media semasa Program Lawatan Tinjauan Bencana Monsun Timur Laut di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ketereh, di sini hari ini.
Nik Nazmi yang juga merupakan Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kelantan memberitahu, projek-projek tebatan banjir termasuk PLSB Sungai Golok dan PLSB Sungai Kelantan sebenarnya sangat mencabar.
Katanya, cabaran dihadapi bukan hanya melibatkan infrastruktur berkenaan semata-mata, tetapi turut melibatkan aspek pengambilan tanah dan proses teknikal yang pastinya akan memakan masa.
“Kalau boleh memang kita mahu!mempercepatkan projek PLSB, tetapi paling penting adalah ia perlu dibuat dengan betul kerana ia bukan melibatkan kos yang kecil.
“Kos tebatan banjir adalah antara kos infrastruktur paling mahal dalam perbelanjaan negara. Oleh itu, kita kena buat dengan betul agar ia berkesan apabila disiapkan nanti,” ujarnya.-UTUSAN